Onley sertai INEOS Grenadiers selepas cemerlang di TdF 2025

Onley sertai INEOS Grenadiers selepas cemerlang di TdF 2025

London: Pelumba Scotland, Oscar Onley akan menyertai INEOS Grenadiers bermula musim 2026 selepas bersetuju dengan perpindahan daripada pasukan Belanda, Picnic PostNL, umum pasukan Britain itu, hari ini.

Pelumba berusia 23 tahun dari Kelso itu muncul sebagai antara bakat paling cerah dalam dunia berbasikal sejak menjadi profesional pada usia 19 tahun.

Beliau mengukuhkan potensinya dengan menamatkan Tour de France (TdF) tahun ini di tempat keempat iaitu pelumba termuda dalam kelompok 10 terbaik.

“Saya membesar dengan menyaksikan Geraint (Thomas), Dave (Brailsford) dan pasukan ini mendominasi sukan ini serta meletakkan berbasikal di peta UK, jadi saya amat berbangga dapat menyertai Grenadiers menerusi kontrak jangka panjang,” kata Onley dalam satu kenyataan.

“Ia bermakna saya akan berlumba untuk pasukan Britain apabila Tour de France bermula dari Scotland pada 2027.”

Onley turut mengucapkan terima kasih kepada Picnic PostNL atas sokongan yang diberikan, sambil berkata beliau akan merindui rakan-rakan sepasukan dan berbangga dengan pencapaian yang diraih bersama.

Pengarah Perlumbaan INEOS Grenadiers, Geraint Thomas memuji kematangan dan kebijaksanaan Onley ketika berlumba.

“Prestasi Oscar pada 2025 amat luar biasa. Cara dia berlumba dan memahami perlumbaan menunjukkan kematangan melebihi usianya apabila dia benar-benar seorang pelumba sejati,” kata Thomas yang muncul juara TdF pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top