Op Airways: SPRM beku 12 akaun, sita aset

Op Airways: SPRM beku 12 akaun, sita aset

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 12 akaun dan beberapa aset disita susulan penahanan enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat terbabit dengan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Bahagian Perisikan SPRM sudah merampas beberapa dokumen berkaitan seperti Airway Bill, pesanan pembelian, baucar pembayaran, pesanan penghantaran, dokumen Electronic Pre-Alert Manifest (ePAM), dokumen K1, dan beberapa dokumen lain yang berkaitan kes.

Menurutnya, terdapat beberapa aset alih berkaitan kes yang disita dan sebanyak 12 akaun dibekukan buat masa ini.

“Kesemua pegawai kastam yang ditahan bermula dari gred WK19 sehingga WK22.

“Salah seorang daripada mereka berperanan sebagai ‘collector’ yang menerima rasuah sebanyak RM4,000 sehingga RM6,000 sehari sebelum rasuah itu diagih-agihkan antara pegawai kastam yang lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Azam berkata, Bahagian Perisikan SPRM sudah mengenalpasti penerbangan yang membawa vape itu datang dari Macau dan Hong Kong, namun usaha memastikan barang seludup itu berasal dari negara mana masih sedang giat dijalankan.

“Barang dibawa masuk ke Malaysia dengan cara pengikraran yang tidak betul dilakukan bermula dari sana lagi.

“Dipercayai sindiket ini mempunyai rangkaian antarabangsa untuk membuat pengikraran yang tidak betul bagi mengelirukan pihak berkuasa di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengikraran yang tidak betul menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan barangan itu, dan bagi melepasi sekatan pemeriksaan di pintu keluar kastam, bayaran rasuah diberikan untuk membolehkan vape itu tidak diperiksa.

“Barangan itu dinyatakan di dalam Airway Bill sebagai Lithium Ion Battery dan langsung tidak diikrarkan ke dalam sistem ePAM ataupun borang K1.

“Ada pegawai kastam dan pengarah syarikat lain kini berada dalam radar SPRM. Siasatan dan risikan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan masing-masing,” katanya.

Katanya, Bahagian Perisikan SPRM juga masih giat menjalankan siasatan dan suspek lain sedang dikenal pasti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top