Op cuti sekolah: 11 bas ekspres, persiaran tiada pemandu kedua

Op cuti sekolah: 11 bas ekspres, persiaran tiada pemandu kedua

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan 11 bas ekspres dan persiaran yang tidak mempunyai pemandu kedua ketika operasi sempena cuti sekolah di Plaza Tol Juru, di sini.

Dalam operasi bermula 11 malam Ahad hingga 6 pagi hari ini, 251 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

JPJ negeri berkata, pihaknya menyasarkan bas yang melakukan perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau pemanduan melebihi 4 jam.

“Terdapat 11 bas ekspres dan persiaran didapati memandu tanpa ada pemandu kedua yang kesemuanya dikenakan tindakan saman.

“Kesalahan lain adalah tidak pakai tali pinggang keledar penumpang, tidak kemas kini buku log pemandu, gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal,” menurut JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan.

Jabatan itu mengingatkan pemandu dan pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) supaya mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya demi keselamatan pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top