Op Selamat 24: 6,957 anggota, pegawai polis kawal trafik

Op Selamat 24: 6,957 anggota, pegawai polis kawal trafik

mhafis@mediaprima.com.my

Bangi: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 432 lokasi panas (hotspot) dan 122 titik hitam (blackspot) di lebuh raya dan jalan persekutuan di seluruh negara dalam Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri, bermula 29 Mac hingga 3 April ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 6,957 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara dikerahkan bagi kawalan trafik sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, ia membabitkan seramai 871 pegawai kanan dan 6,086 anggota.

“Sebanyak 25 lokasi ‘hotspot’ dan 46 lokasi blackspot dikenal pasti di lebuh raya utama. Selain itu, sebanyak 407 lokasi panas 76 lokasi blackspot dikenal pasti seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM di sini, hari ini.

Ayob berkata, pemantauan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan.

“Tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap pengguna jalan raya yang ingkar melakukan kesalahan yang menjurus kepada kemalangan.

“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan bersabar ketika memandu bagi menjamin keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan digunakan berada pada tahap yang terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan, selain pemandu juga dinasihatkan mendapatkan tidur yang cukup sebelum perjalanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top