Op Sohor 'buka jalan' bongkar sindiket seludup tembakau, rokok dan cerut

Op Sohor 'buka jalan' bongkar sindiket seludup tembakau, rokok dan cerut

rnoraina@hmetro.com.my

Putrajaya: Pembongkaran sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, hasil kejayaan melumpuhkan sindiket didalangi pegawai kanan tentera dalam Op Sohor, 13 Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan yang dijalankan terhadap pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa kepada tangkapan sindiket terbaharu itu.

“Ini adalah natijah daripada tindakan kita membuat kerja pengintipan dan penyiasatan ke atas pihak yang terbabit dalam hal membocorkan maklumat.

“Kita tak tunggu lama terus ambil tindakan dalam tempoh seminggu. Itulah kerja kami (menjalankan siasatan dan menangkap),” katanya dalam sesi wawancara khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, SPRM menggempur syarikat dipercayai terbabit penyeludupan tembakau, beku akaun RM218 juta, rokok dan cerut di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.

Sindiket itu dipercayai turut membabitkan pegawai agensi penguat kuasa dan siasatan menumpukan kepada usaha mengesan serta menyita aset lain mereka yang terbabit melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Siasatan SPRM mendapati anggota penguatkuasa berperanan memberi laluan mudah di pintu masuk negara dengan melindungi operasi gudang penyimpanan serta tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan rokok dan cerut seludup.

Bayaran dipercayai dibuat secara tetap melalui wang tunai atau melalui orang tengah dengan jumlah tertentu bagi mengelak dikesan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, operasi diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM itu turut mendapat kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, beliau menekankan tindakan proaktif dengan tidak membiarkan setiap kes mengambil masa lama untuk melakukan tangkapan dan siasatan.

“Arahan saya teruskan tangkap mereka terbabit isu penyeludupan yang memberikan kerugian kepada kerajaan. Seperti saya katakan sebelum ini fokus saya ada untuk mengesan jenayah dan aset hasil kegiatan haram mereka.

“Saya percaya masyarakat nak melihat kepada tindakan sebaik mungkin yang kita boleh buat dan saya harap masyarakat memahami mengenai kekangan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top