kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di Malaysia terus menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong perubahan gaya hidup pengguna serta faktor ekonomi dan teknologi.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amalina Amir berkata, penggunaan EV di Malaysia mula mendapat perhatian sekitar 2020, dipengaruhi perkembangan global termasuk populariti jenama seperti Tesla di Amerika Syarikat (AS).
“Pada peringkat awal, pemilikan EV agak perlahan berikutan harga yang tinggi serta kekurangan kemudahan pengecas.
“Namun, peningkatan kesedaran terhadap teknologi hijau dan keperluan mengurangkan jejak karbon mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada EV, khususnya di kawasan bandar,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, kenderaan hibrid pula menjadi pilihan peralihan kerana mampu menawarkan pengalaman pemanduan elektrik tanpa kebimbangan jarak perjalanan atau range anxiety.
Selain itu, kemajuan teknologi termasuk penggunaan sensor keselamatan yang lebih canggih turut meningkatkan keyakinan pengguna.
Pasaran kini juga semakin kompetitif dengan kehadiran jenama seperti BYD, Proton dan Zeekryang menawarkan model pada harga lebih mampu milik.
Dari sudut ekonomi, kos pemilikan menjadi antara faktor penting dalam keputusan pembelian.
Katanya, walaupun harga awal EV masih tinggi disebabkan kos bateri, penjimatan jangka panjang terutama dari segi bahan api dan penyelenggaraan menjadikan ia lebih menarik.
“Pengguna boleh menikmati penjimatan lebih cepat jika pengecasan dilakukan di rumah, tambahan pula kenaikan harga bahan api global turut mendorong minat terhadap EV,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kebimbangan dalam kalangan pengguna, terutama membabitkan jarak pemanduan, kemudahan pengecasan dan ketahanan bateri.
Katanya, anggaran jarak pemanduan EV boleh dipengaruhi gaya pemanduan serta faktor geografi seperti laluan berbukit.
Namun, pengguna lazimnya dapat menyesuaikan penggunaan selepas tempoh tertentu.
Dalam masa sama, pembangunan infrastruktur pengecasan semakin pesat termasuk di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, selain sokongan aplikasi seperti PlugShare yang membantu pengguna merancang perjalanan.
Antara penyedia rangkaian pengecas tempatan termasuk Gentari, Tenaga Nasional Berhad melalui TNB Electron, serta ChargEV dan JomCharge.
Selain itu, jaminan pengeluar yang menawarkan waranti bateri sehingga lapan tahun turut membantu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ketahanan EV.
Mengulas langkah memperkukuh penerimaan EV, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute memperkenalkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) bagi merangsang pelaburan dan pembangunan industri tempatan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu menurunkan harga kenderaan melalui pemasangan tempatan, malah membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan industri,” katanya.
Dalam pada itu, usaha memperluas pemasangan pengecas pantas termasuk teknologi yang mampu mengecas sehingga 80 peratus dalam tempoh 15 hingga 30 minit serta penggunaan tenaga solar, dilihat sebagai langkah penting ke arah mobiliti rendah karbon.
Secara keseluruhan, prospek EV di Malaysia dilihat cerah, disokong kerjasama kerajaan dan industri, meskipun cabaran dari segi kos, ekonomi global dan kesiapsiagaan infrastruktur masih perlu ditangani secara menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




