13 Ahli Parlimen BERSATU desak parti keluar atau disingkir daripada PN

13 Ahli Parlimen BERSATU desak parti keluar atau disingkir daripada PN

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 13 Ahli Parlimen BERSATU hari ini mendesak supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan parti.

Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa tindakan PAS itu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan sikap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkan sebagai angkuh dan sombong.

Katanya, tindakan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU bukan perkara yang mengejutkan berikutan sikap angkuh dan sombong Muhyiddin, Mohamed Azmin serta pemimpin utama parti.

“Kami amat kecewa dengan sikap BERSATU yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang telah dibina dengan susah payah.

“Oleh itu kami mendesak supaya Parti BERSATU segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional dan semua lantikan politik dan EXCO dari BERSATU dalam negeri-negeri yang berkaitan dirombak,” katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.

Ia turut ditandatangani Ahli Parlimen Lumut, Komander (B), Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas; Ahli Parlimen Sabak Bernam,Kalam Salan; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka sebagai Ahli Parlimen sudah banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.

“Malangnya, setiap teguran membina yang disuarakan kami langsung tidak diendahkan, malah Lembaga Disiplin disalahgunakan untuk menutup mulut kami daripada terus menyuarakan kebenaran.

“BERSATU sudah tiada nilai dalam PN, malah dari segi bilangan Ahli Parlimen, BERSATU sekarang hanya mempunyai enam Ahli Parlimen yang masih bersama parti.

“Jika BERSATU kekal dalam PN, maka kelemahan BERSATU dan keangkuhan Muhyiddin akan melumpuhkan PN,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top