Putrajaya: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan award yang dikeluarkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) berhubung satu aduan gangguan seksual melibatkan penyebaran imej intim seorang wanita tanpa kebenaran melalui media sosial oleh bekas teman lelakinya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mahkamah berkenaan mengekalkan award TAGS bertarikh 1 Ogos 2024 yang memerintahkan responden membuat permohonan maaf secara bertulis kepada pengadu, menghadiri sesi kaunseling serta membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini memperkukuh peranan TAGS sebagai mekanisme keadilan yang cepat, mudah dan berkesan dalam memberikan remedi kepada mangsa gangguan seksual, termasuk gangguan seksual secara digital,” menurut kenyataan itu.
KPWKM memaklumkan TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac 2024 menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku di Malaysia.
“Penubuhan tribunal ini merupakan satu langkah penting dalam usaha negara memperkukuh perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah,” menurut kenyataan itu.
Mangsa gangguan seksual sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat mahupun fizikal boleh membuat aduan kepada TAGS dan mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau melayari portal rasmi TAGS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




