mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 4,472 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 277 motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, tindakan itu diambil menerusi Operasi Khas Motosikal yang dijalankan di Plaza Tol Batu dan Plaza Tol Ayer Panas bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam.
Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai oleh Ketua Seksyen Pendakwaan JPJ Kuala Lumpur, Kamarul Anuar Mazly.
“Jumlah notis yang dikeluarkan adalah 645 notis dan 29 buah motosikal disita.
“Kesalahan utama yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, ketiadaan insurans, memandu bawah umur, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, dan lain-lain kesalahan teknikal yang tidak mematuhi peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi ini adalah bukti komitmen JPJ dan rakan strategik untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




