Operasi Pembenihan Awan dilaksana mulai hari ini hingga Khamis

Operasi Pembenihan Awan dilaksana mulai hari ini hingga Khamis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) mulai hari ini hingga Khamis bagi mendepani cabaran cuaca panas yang sedang melanda negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata, OPA akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di Perak, Kedah, Perlis, dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian.

Katanya, berdasarkan laporan status cuaca setakat semalam, Kota Setar di Kedah kini berada pada Tahap Dua atau Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius yang berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Selain itu, beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, dan Johor turut diletakkan di bawah status Tahap Satu (Berjaga-jaga) berikutan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai OPA kali ini, Arthur berkata, objektif utama siri operasi adalah untuk meningkatkan paras air di empangan-empangan strategik terbabit serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

“Bagaimanapun, kementerian ingin menegaskan bahawa kejayaan operasi ini amat bergantung kepada keadaan atmosfera yang kondusif, terutamanya kehadiran awan kumulus yang sesuai dan kelajuan angin yang rendah.

“Pasukan teknikal MetMalaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi menentukan lokasi sasaran yang tepat yang dapat menghasilkan impak maksimum kepada kawasan yang terkesan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, orang awam dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air yang mencukupi, serta menggunakan perlindungan diri seperti topi atau payung ketika berada di bawah panas terik.

“Seluruh rakyat juga diseru untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara serta kelestarian alam sekitar.

“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memantau impak cuaca panas ini, manakala maklumat terkini boleh dirujuk melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MetMalaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top