Operasi pencarian jasad Sabari masih tiada sebarang petunjuk

Operasi pencarian jasad Sabari masih tiada sebarang petunjuk

am@hmetro.com.my

Jitra: Operasi pencarian jasad Sabari Baharom, 62, di Sungai Padang Terap pada hari ketiga hari ini masih belum menunjukkan sebarang petunjuk setakat ini.

Tinjauan di lokasi pencarian di sungai berkenaan berhampiran Jambatan Kampung Lubuk Batu mendapati pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan usaha mengesan mangsa sehingga 6 petang tadi.

Operasi dalam radius 13 kilometer itu membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, isteri Sabari, Subhiah Roslina Shahibi, 57, yang turut berada di lokasi untuk mengikuti perkembangan suaminya dalam operasi itu sejak pagi tadi kelihatan tenang ditemani saudara-mara serta kenalannya sehingga operasi ditangguhkan.

Subhiah Roslina berkata, pihak berkuasa memaklumkan akan menghubunginya dari semasa ke semasa mengenai perkembangan operasi terbabit.

“Saya pun tak pasti operasi SAR ni sampai bila akan dilakukan.

“Polis cuma memaklumkan mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya.

Pencarian Sabari yang disyaki dicampak dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditutup pita pelekat di Sungai Padang Terap dilakukan susulan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top