Oslo: Norway menutup aksi persiapan Piala Dunia di laman sendiri dengan kemenangan 3-1 ke atas seteru Scandinavia, Sweden, awal pagi tadi.
Penyerang Wolverhampton Wanderers, Jorgen Strand Larsen meledak dua gol manakala Antonio Nusa turut mencuri perhatian apabila menjaringkan gol menarik untuk membantu Norway mendahului 3-0 di babak pertama.
Sweden merapatkan jurang menerusi Alexander Isak pada separuh masa kedua namun gagal menghalang Norway daripada meraikan kemenangan penting menjelang kempen Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 28 tahun.
Bintang Manchester City, Erling Haaland hanya menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton.
Nusa berkata, skuad Norway perlu meneruskan momentum positif menjelang kejohanan di Amerika Utara.
“Saya rasa kami hanya perlu terus melakukan apa yang sudah kami lakukan sejak sekian lama dan terus menikmati permainan ini,” kata Nusa.
Kejayaan itu hadir sehari selepas pasukan hoki ais Norway mengejutkan Kanada untuk meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia Hoki Ais di Zurich, pencapaian terbaik negara itu dalam kejohanan berkenaan.
Sebelum sepak mula, pemain Norway turut menerima mesej video daripada legenda ski merentas desa negara itu, Petter Northug yang terkenal dengan persaingan sengit menentang Sweden.
“Buat saya bangga. Rendahkan mereka. Tidak mengapa bermain sedikit agresif,” kata Northug dalam mesej itu.
Pertahanan Norway, Leo Ostigard mengakui kata-kata Northug membakar semangat pasukan.
“Apabila raja bersuara, kami perlu sahut cabaran itu,” kata Ostigard.
Norway akan menentang Maghribi dalam aksi persahabatan di New Jersey sebelum memulakan kempen Kumpulan I menentang Iraq, Senegal dan Perancis.
Sweden kendalian Graham Potter pula akan beraksi dalam Kumpulan F bersama Tunisia, Jepun dan Belanda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




