Operasi perniagaan Zarina Zainuddin tidak terjejas

Operasi perniagaan Zarina Zainuddin tidak terjejas

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Zarina Zainuddin, 56, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai kilang pulut kuning miliknya tidak bersih sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Zarina menjelaskan bahawa isu itu langsung tidak menjejaskan operasi perniagaannya, malah tempahan yang diterima semakin meningkat sejak dakwaan berkenaan tersebar luas.

“Pelanggan yang pernah berkunjung ke premis saya lebih memahami keadaan sebenar. Kilang saya bersih serta mempunyai sijil Halal dan pengiktirafan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). Kami bukan seperti yang digambarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka anjuran mStar dan Suria di Saloma Bistro, malam tadi.

Mengulas mengenai hantaran di aplikasi Threads yang mempersoalkan tahap kebersihan premisnya, Zarina menyifatkan kenyataan individu terbabit sebagai tidak berasas dan dibuat secara emosi tanpa saluran yang betul.

“Saya tidak mahu ambil terlalu serius kerana banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian. Saya rasa kenyataan itu dibuat secara emosi. Terserah kepada orang ramai untuk menilainya,” tambahnya.

Ditanya sama ada beliau akan mengheret individu tersebut ke mahkamah, Zarina memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana enggan memanjangkan kemelut itu.

“Hendak bawa ke mahkamah pun saya rasa tidak perlu. Dia pun tiada duit, kalau hendak lawan pun dia hendak bayar guna apa? Saya maafkan individu terbabit dan menganggap dia mungkin bertindak dalam keadaan emosi,” jelasnya lagi.

Terdahulu, tular di Threads dakwaan seorang individu yang mendakwa mendapat maklumat daripada ‘bekas pekerja’ mengenai tahap kebersihan kilang pulut kuning milik pelakon itu, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top