am@hmetro.com.my
Sungai Petani : Operasi menyelamat pasukan sukarelawan Malaysia di Hatyai, Thailand, terpaksa dihentikan berikutan arahan tentera Thailand yang mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai berbahaya dan tidak lagi selamat dimasuki.
Ketua Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat yang menggerakkan operasi itu berkata, operasi menyelamat sejak lima hari lalu bersama sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor serta beberapa pasukan dari negeri utara dihentikan jam 7 malam tadi.
Beng Tat berkata, pihak tentera Thailand mengeluarkan arahan untuk menghentikan operasi selepas beberapa zon banjir dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk arus deras, struktur runtuh dan laluan yang tidak stabil.
“Kita sedar walaupun masih ada mangsa rakyat Malaysia di kawasan terjejas, tetapi pihak sukarelawan tidak dibenarkan meneruskan operasi atas faktor keselamatan.
“Jadi, selepas ini sebarang permohonan bantuan baru kami akan salurkan terus kepada pihak tentera dan polis di Thailand untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beng Tat berkata, pihaknya berharap rakyat Malaysia dapat terus memberi sokongan moral kepada pasukan bomba sukarela yang sering menjadi barisan hadapan ketika bencana besar berlaku.
“Semua ahli pasukan beroperasi atas dasar sukarela dan menanggung sendiri segala kos sepanjang berada di Thailand demi membantu rakyat Malaysia yang terkandas.
“Sepanjang operasi, ada anggota kami yang cedera namun kami tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan ramai pelancong Malaysia yang terperangkap,” katanya.
Katanya, setakat semalam, pasukan penyelamat itu berjaya membantu sekurang-kurangnya 1,500 rakyat Malaysia keluar dari kawasan banjir di Hatyai dan kembali ke tanah air dengan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




