TAPAH: Tiga individu Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu di sini tidak dapat melupakan pengalaman berjaya menyelamatkan Jaslinda Saludin di kampung mereka pada Sabtu lalu.
Mereka ialah Nazri Bah Eng, 55, Bah Roslan Bah Sulpok, 51, dan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah, 63.
Menurut Mohd. Asmadi, dia berbangga dengan dua anak buahnya iaitu Nazri dan Bah Roslan kerana berjaya menemukan Jaslinda, 49, yang sesat selama dua minggu semasa mendaki Gunung Batu Putih di sini.
“Saya bersyukur Jaslinda sampai ke kampung kami, sebab dua minggu dia hilang, mungkin dia tak boleh bertahan, boleh meninggal tetapi kerana Allah SWT telah lindungi dia.
“Dia bersemangat hendak berjumpa keluarga, anak, ibu dan ayahnya, panjang umurnya. Lagipun, pihak kami mencarinya juga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng menyampaikan sijil penghargaan kepad mereka sebagai penghargaan kerana menemukan Jaslinda.
Mohd. Asmadi menambah, sekiranya Jaslinda tidak ditemukan pasti suami dan anak-anak wanita itu bersedih dan trauma untuk satu tempoh masa yang lama.
“Kami ada maklumat mengenai kehilangannya sebelum ini. Apabila jumpa perasaan sedih dan gembira kerana berjaya menemukan (selamatkan) wanita yang ada suami.
“Kalau tidak, suami dia kehilangan isteri, anak-anaknya kehilangan seorang ibu. Hilanglah kasih sayang,” katanya.
Ujarnya, Jaslinda berjanji akan bertemu dengan mereka apabila wanita itu sihat kelak. – UTUSAN




