am@hmetro.com.my
Port Dickson: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria teruja apabila dibawa memasuki kawasan yang sinonim sebagai ‘lubuk’ Barisan Nasional (BN) di Siliau, dekat sini.
Tidak bersendirian, sebaliknya kehadiran Abdul Fatah yang lebih dikenali Ustaz Fatah hari ini ditemani Timbalan Ketua UMNO Port Dickson, Mohd Najib Isa.
Najib berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini BN ditakdirkan tidak bertanding kerana kerusi DUN Bagan Pinang disandang PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Persefahaman wang diwujudkan antara BN dan PN menyebabkan BN tidak bertanding kali ini (di DUN Bagan Pinang) dan kami (BN) usaha bantu agar pengundi yang sebelum ini mengundi BN dapat beri undi mereka kepada calon PN, Ustaz Fatah.
“Kita berharap PN dapat menang besar di DUN Bagan Pinang dengan dibantu pengundi di Siliau yang terkenal sebagai pengundi setia BN,” katanya.
Sementara itu, Ustaz Fatah mengakui jaringan hubungan bersama BN memudahkan siri kempen untuk memenangi PRN kali ini.
“Kebetulan saya adalah penyandang kerusi di Bagan Pinang dan saya harap kerusi ini kita menang bagi membantu BN menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, momentum kempen agak baik dengan dibantu saudara Najib yang mana saya amat berterima kasih… kerjasama ini akan berterusan untuk kita mengekalkan kerusi ini milik PN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




