'Orang yang buat baik secara senyap, paling ikhlas' : Hafreez Adam

'Orang yang buat baik secara senyap, paling ikhlas' : Hafreez Adam

am@hmetro.com.my

Putrajaya: “Saya mengesahkan kejadian yang berlaku itu tetapi memilih untuk tidak mendedahkan nama aktres popular terbabit,” kata pelakon, Hafreez Adam, 35, ketika diminta mengulas mengenai siapakah artis yang dimaksudkannya dalam perkongsian di Threads baru-baru ini.

Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata, dia berasa tidak perlu untuk mengesahkan nama aktres yang diperkatakan itu kerana percaya ramai yang sudah tahu siapa yang dimaksudkannya.

“Saya berasa tidak perlu untuk sahkan siapa artis berkenaan kerana mesej yang saya nak sampaikan dalam perkongsian itu sebenarnya ramai orang yang buat baik tapi simpan.

“Pada pandangan saya secara peribadi, orang yang buat baik secara senyap ini adalah orang yang paling ikhlas,” katanya ketika ditemui pada ‘watch party’ drama Rumah Tanpa Luka yang berlangsung di sini, malam tadi.

Ditanya nama Nur Fazura yang dipetik netizen, kata Hafreez, ia terpulanglah pada persepsi masing-masing.

“Saya percaya aktres itu tahu dirinya yang dimaksudkan dalam perkongsian terbabit. Saya tidak mahu dedahkan namanya kerana mesej utama ialah untuk orang pandang pada kebaikan dilakukannya.

“Setiap kali saya berjumpa dengannya memang dia (aktres) akan cakap benda yang baik saja. Saya tak pernah jumpa dia cakap benda yang tak baik dan kenapa orang tak pandang perkara itu kerana itu adalah kelebihan dirinya,” katanya.

Mengenai perkongsian itu pula, kata Hafreez, dia mahu orang ramai menggunakan platform media sosial sebaik mungkin untuk berkongsi perkara yang baik dari memecah belahkan orang.

“Sejak kebelakangan ini, banyak benda negatif yang berlaku termasuk isu semasa seperti peperangan dan sebagainya.

“Kenapa kita tak guna platform media sosial untuk kongsi benda yang baik dan positif? Saya sendiri pun banyak berkongsi mengenai ‘painting’ (lukisan) dan ‘deserts’ (pencuci mulut) di laman Threads.

“Kita pun tak tahu hidup di dunia ini sampai bila kerana bagaimana kalau kita tengah menaip (menulis di medsos) tiba-tiba meninggal dunia?,” katanya.

Terdahulu, hantaran Hafreez di Threads berkongsi pengalamannya bertemu seorang aktres wanita popular ketika awal kemunculannya dalam bidang seni mencuri perhatian netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top