P.Pinang pertimbang integrasi pas bas dengan feri – Zairil

P.Pinang pertimbang integrasi pas bas dengan feri – Zairil

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan pengintegrasian Pas Mutiara dengan perkhidmatan feri baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, langkah itu bagi mengurangkan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara kerap.

Kata beliau, kerajaan negeri mengambil maklum pelaksanaan tambang tiket baharu RM4 berbanding harga lama, iaitu RM1.20 bagi perjalanan pergi dan balik.

“Secara prinsip kita bersetuju untuk pertimbangkan pengintegrasian Pas Mutiara (pas bulanan yang kini dibiayai oleh Kerajaan Negeri bagi penumpang bas Rapid Penang) dengan perkhidmatan feri agar satu kadar yang disubsidi dapat ditawarkan bagi manfaat rakyat.

“Perbincangan mengenainya juga sudah dilakukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Bagaimanapun, cadangan ini perlu diperinci dengan lebih mendalam dan pelaksanaannya juga tertakluk kepada pengintegrasian sistem kedua-dua bas dan feri yang dijangka mengambil masa beberapa bulan,” katanya hari ini.

Tambah Zairil, Kerajaan negeri komited memberi bekerjasama dengan semua pihak

termasuk Kementerian Pengangkutan dalam mencapai hasrat untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Media semalam melaporkan, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang juga syarikat pengendali perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang mengumumkan kadar tambang perkhidmatan feri berkenaan bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala berkuatkuasa hari ini.

Menurut PPSB, tambang RM1 itu dikenakan kepada individu atau pejalan kaki  berusia 12 tahun ke bawah dan RM2 kepada penumpang pejalan kaki dewasa berusia 12 tahun ke atas.

Manakala penumpang yang menaiki basikal dikenakan tambang RM2 dan motosikal pula RM2.50. – MalaysiaGazette