Perasaan gemuruh hantui Tze Yong

Perasaan gemuruh hantui Tze Yong

Hasrat Tze Yong untuk mara ke suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Khamis tidak kesampaian. – Foto Badminton Photo

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memperoleh pengalaman berharga agar kekal tenang dalam permainan setelah tersingkir daripada saingan pusingan kedua Terbuka China di Changzhou pada Khamis.

Perasaan gementar terus menghantui Tze Yong yang terpaksa membayar harga mahal ketika di ambang kemenangan pada set penentuan, namun terpaksa akur terlepas slot ke suku akhir dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik itu.

Pemain kelahiran Johor itu kalah kepada Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia pada perlawanan yang berlarutan ke set penentuan.

Tze Yong yang memenangi set pertama menghampiri mata kemenangan pada aksi set penentuan apabila mendahului 20-17, namun dia gagal bertahan yang akhirnya menyaksikan dia akur dengan kekalahan 21-18, 11-21, 20-22

“Mungkin saya sangat gementar dan terlalu mahukan kemenangan. Apa pun, ia menjadi pengalaman dan pengajaran berguna buat saya,” ujar Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat permainan.

Pemain yang menghuni ranking ke-22 dunia itu mengakui kekalahan tersebut menjadi pengajaran berguna buatnya dan akan mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya belum boleh untuk mengatasi masalah ini apabila mendahului perlawanan. Ini sesuatu yang saya perlu atasi,” katanya.

Kekalahan Tze Yong menyaksikan perjuangan wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir setelah pemain profesional, Lee Zii Jia terkandas dalam saingan pusingan pertama pada Rabu.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu terpaksa akur kecundang kepada naib juara dunia dari Jepun, Kodai Naraoka 24-26, 21-12, 11-21.

Perjuangan mereka selepas ini akan beralih ke Terbuka Hong Kong bermula 12 hingga 17 September ini.

Tze Yong akan membuka tirai perlawanan berdepan Chou Tien Chen dari Taiwan, manakala Zii Jia dijadualkan menentang pemain China, Zhao Jun Peng.