PAAB biayai RM11.19 juta atasi masalah air hampir dua dekad di Maran

PAAB biayai RM11.19 juta atasi masalah air hampir dua dekad di Maran
PAAB biayai RM11.19 juta atasi masalah air hampir dua dekad di Maran

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (empat, kiri) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Penggantian Paip Maran, di Loji Rawatan Air Chenor, Pahang

MARAN – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membiayai sepenuhnya Projek Penggantian Paip di Maran, Pahang bernilai RM11.19 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih yang sekian lama dihadapi penduduk, khususnya di Mukim Chenor.

Menerusi pakej projek berkenaan, kerja penggantian paip lama dan uzur sepanjang 29.6 kilometer di beberapa kawasan di Maran berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Kawasan terlibat termasuk Kampung Serengkam, Kampung Ulu Luit, Kampung Pejing, Ulu Jempul dan Chenor.

Pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada bekalan air bersih berkualiti secara berterusan, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih yang dihadapi hampir dua dekad di Maran.

Projek berkenaan turut menyelesaikan isu paip pecah yang sering dilaporkan berlaku, selain mengatasi masalah air tidak berhasil (NRW) serta menstabilkan tekanan bekalan air di daerah berkenaan ketika permintaan meningkat, terutama pada musim kemarau dan musim perayaan.

Secara keseluruhannya, pembinaan Projek Penggantian Paip itu memberi manfaat secara langsung kepada hampir 10,000 penduduk di Maran, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi di daerah berkenaan.

Majlis Penyerahan Projek Penggantian Paip di Maran disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar di Chenor, Maran.

Bagi tempoh tiga tahun akan datang, PAAB komited merangka pelan pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur air yang lebih strategik dan mampan dengan kerjasama PAIP di beberapa daerah di Pahang.

Antaranya termasuk projek menaik taraf sistem elektrik di Rumah Pam Air Bersih Loji Jengka Utama yang berupaya mengatasi gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Gugusan Felda Jengka.

PAAB juga sedang melaksanakan projek penggantian paip lama dan uzur di Jerantut dan Lipis yang menghubungkan kawasan sekitar Pulau Tawar dan Kuala Tahan sepanjang 76.2 kilometer dengan kos RM35.7 juta.

Selain itu, projek penggantian paip turut dilaksanakan di FELDA Keratong sepanjang 11 kilometer dengan nilai RM13 juta yang berupaya meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di Rompin.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keupayaan sistem bekalan air di semua daerah di Pahang.

Untuk rekod, PAIP menandatangani Perjanjian Perstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang pada 2020.

Sehingga Julai 2026, PAAB memperuntukkan RM1.17 bilion bagi pembangunan infrastruktur bekalan air di Pahang.

Daripada jumlah itu, RM69.79 juta melibatkan projek yang siap sepenuhnya, RM66.94 juta bagi projek dalam pembinaan, manakala RM981.04 juta untuk projek dalam perancangan dan reka bentuk.

PAAB akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, PAIP serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda memperkukuh infrastruktur air negeri dapat direalisasikan.

Komitmen itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk mentransformasi sektor air negara ke arah sistem yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan.

 

Scroll to Top