am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bekerjasama dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk mengatasi masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di beberapa kawasan pedalaman di Kelantan.
Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, bekalan air bersih menjadi keutamaan yang dikenal pasti sebagai keperluan asas rakyat, justeru, pelbagai usaha sedang giat termasuklah menaik taraf infrastruktur, meningkatkan kapasiti loji rawatan air, serta menambah baik sistem agihan bagi menangani isu berlarutan ini secara menyeluruh.
Katanya, antara kawasan yang dibantu ialah Kampung Lubok Simpul apabila penduduk di kawasan berkenaan sering berdepan dengan gangguan bekalan air yang berulang akibat tekanan air rendah dan keadaan infrastruktur tangki air sedia ada yang uzur.
“Justeru katanya, PAAB mengambil langkah segera dengan meluluskan pembinaan sebuah tangki air jenis HDPE berkapasiti 4,500 liter di Madrasah Kampung Lubok Simpul yang menjadi pusat pengagihan air alternatif bagi komuniti setempat.
“Tangki berkenaan mula dipasang pada bulan Julai lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima minggu yang sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk kampung apabila masalah tekanan air rendah di kawasan penempatan mereka dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Santuni MADANI Bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di Madrasah Kampung Lubok Simpul, Mukim Pahi, Kuala Krai, di sini, semalam.
Terdahulu beliau meninjau projek pembinaan tangki air baharu di Madrasah Kampung Lubok Simpul.
Turut hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PAAB, Abdul Samad Sulaiman dan Ketua Kampung Lubok Simpul, Mohd Khairul Anuar Mohd Nor.
Jaseni berkata, Kampung Lubok Simpul dipilih sebagai kampung angkat di bawah inisiatif Santuni MADANI selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih dekat dan berfokus.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan adanya infrastruktur baharu itu, 124 akaun pengguna membabitkan kira-kira 500 penduduk masih boleh mendapatkan air bersih sekiranya berlaku gangguan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Pahi, sama ada disebabkan oleh masalah teknikal atau kerosakan paip.
“Pada masa sama, AKSB juga mempunyai kemudahan untuk menyalurkan bekalan air sementara menggunakan lori tangki terus ke tangki baharu di surau berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, masalah tekanan air rendah berlaku disebabkan saluran paip utama yang menyalurkan air ke kawasan berkenaan iaitu jenis asbestos cement (A/C pipe) berisiko tinggi untuk pecah yang memaksa operator AKSB mengurangkan tekanan air, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada penduduk.
“Justeru, bagi mengatasi permasalahan ini, PAAB menyegerakan penggantian paip lama di sekitar kawasan Kuala Krai termasuk Bandar Kuala Krai dan Damar sehingga ke Kampung Lubok Simpul yang berupaya meningkatkan tekanan air sekaligus dapat menyelesaikan isu kebocoran dan paip pecah yang sering berlaku di berkenaan.
“Alhamdulillah, projek ini siap sepenuhnya pada Mac 2025 membabitkan jajaran paip keseluruhan sepanjang 23.2 kilometer yang turut merangkumi kawasan di Kota Bharu Timur, Machang dan Tanah Merah dengan kos keseluruhan berjumlah RM23.67 juta dibiayai sepenuhnya oleh PAAB,” katanya.
Beliau berkata, PAAB memberi jaminan bahawa pasukannya di negeri Kelantan akan terus memantau perkembangan bekalan air di kawasan ini dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti dan meneliti sebarang isu yang dihadapi penduduk sepanjang tempoh pelaksanaan Program Santuni MADANI.
Sementara itu, Mohd Khairul Anuar berkata, sebelum ini penduduk di kawasan Kampung Lubok Simpul bergantung kepada sumber air tandak (air bukit) sebagai keperluan harian mereka.
Katanya, keadaan itu sudah berlarutan lebih 30 tahun sehingga memaksa kira-kira 80 buah rumah yang didiami hampir 500 penduduk menggunakan air tandak sebagai alternatif disebabkan tekanan air paip sedia ada yang dibekalkan oleh AKSB sangat rendah akibat penggunaan sistem paip lama.
“Walau bagaimanapun, penggunaan air tandak berisiko kerana airnya keruh ketika hujan selain tidak terjamin kebersihannya, selain menimbulkan kebimbangan terhadap jangkitan penyakit seperti kencing tikus.
“Kini, dengan adanya sumber air bersih yang lebih terjamin, penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada air tandak seperti dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



