khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan prosiding berhubung isu pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi dengan memanggil Kementerian Kewangan (MOF) pada 3 November lalu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga telah dipanggil pada 4 November berhubung isu kutipan deposit wang jaminan jenayah di bawah sistem e-Jamin.
Menurutnya, ini kerana kedua-dua isu itu sudah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025.
“Bagi isu berhubung perjanjian konsesi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, PAC akan memanggil pihak Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri selaku tiga kementerian yang memiliki kenderaan tertinggi di bawah perjanjian konsesi tersebut.
“PAC turut akan memanggil pihak syarikat, SPANCO Sdn Bhd,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Mas Ermieyati berkata, bagi isu membabitkan sistem e-Jamin, pihaknya akan meneruskan prosiding dengan memanggil syarikat Dapat Vista (M) Sdn Bhd selaku kontraktor yang membangunkan sistem berkenaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).
“Saksi -saksi yang dipanggil adalah untuk mendapatkan maklumat yang lengkap bagi tujuan pelaporan PAC yang lebih komprehensif dan menyeluruh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
