PAC tidak puas hati berhubung pentadbiran tanah KL, tuntut semak dan imbang

PAC tidak puas hati berhubung pentadbiran tanah KL, tuntut semak dan imbang

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap maklum balas kerajaan berhubung syor yang dikemukakan dalam Penyata PAC mengenai pembangunan tanah di ibu kota.

Pengerusi PAS, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendirian itu dibuat selepas PAC mengadakan Prosiding Tindakan Susulan berhubung isu pembangunan tanah Kuala Lumpur semalam yang dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Katanya, turut hadir dalam prosiding ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta wakil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL).

Beliau berkata, prosiding itu bertujuan mendapatkan maklum balas terhadap syor dalam Penyata PAC berhubung Pembangunan Tanah Kuala Lumpur (DR.24/2025) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos tahun lalu.

“Secara keseluruhan, PAC melahirkan rasa tidak puas hati terhadap maklum balas dikemukakan termasuk Kepengerusian Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL).

“PAC mengambil maklum bahawa isu ini adalah tertakluk kepada pertimbangan Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, PAC menegaskan agar jawatan pengerusi jawatankuasa ini dikembalikan kepada Menteri bagi memperkukuh akauntabiliti demokrasi,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Mas Ermieyati turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan libat urus antara JKTWPKL dengan Ahli Parlimen dalam proses kelulusan pembangunan tanah.

Katanya, walaupun Ahli Parlimen mempunyai akses kepada sistem One Stop Centre (OSC) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), proses kelulusan tanah di bawah bidang kuasa JKTWPKL masih dilaksanakan tanpa pembabitan wakil rakyat.

“Ketidaktelusan maklumat ini menyukarkan peranan Ahli Parlimen untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung sebarang bantahan pembangunan di kawasan mereka.

“Pada masa sama, PAC berpandangan cadangan pindaan terhadap Akta berkaitan bagi mewujudkan sistem Ahli Majlis di DBKL yang tidak dapat dilaksanakan dikhuatiri menjejaskan usaha memperkukuh agenda semak dan imbang.

“Tindakan yang hanya bersandar kepada reformasi pentadbiran dalaman sedia ada dianggap tidak memadai dalam menjamin tahap ketelusan organisasi kerana ketiadaan perubahan struktur dalam DBKL,” katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya berharap kerajaan memberi perhatian lebih serius terhadap usaha reformasi struktur secara menyeluruh, terutama apabila syor penambahbaikan dasar yang kritikal sering dikembalikan kepada pertimbangan Jemaah Menteri.

“PAC mendesak kerajaan mempamerkan keazaman politik yang sebenar dengan mempertimbangkan semula syor-syor yang dikemukakan secara lebih serius sebagai bukti kesungguhan menyelesaikan kemelut tadbir urus dalam pengurusan dan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.

“PAC bimbang suara rakyat terus dipinggirkan jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan, sekali gus menjejaskan kesejahteraan awam secara keseluruhan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top