ALLIANCE Bank BizSmart® Business Conference 2026 memperkukuh usaha mempercepat pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia daripada juara tempatan kepada jenama yang mampu menembusi pasaran nasional, serantau dan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pengembangan pasaran merupakan antara pemacu utama pertumbuhan PMKS ketika semakin banyak jenama tempatan berusaha meningkatkan skala perniagaan dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, Alliance Bank komited menjadi rakan pertumbuhan jangka panjang kepada usahawan melalui ekosistem perniagaan yang komprehensif, akses kepada pembiayaan, pandangan strategik serta rangkaian rentas sempadan bagi menyokong pengembangan operasi.
“Sebagai The Bank For Life, kami menyediakan ekosistem perniagaan yang menyeluruh, pandangan strategik serta inovasi kewangan yang diperlukan PMKS Malaysia untuk berkembang daripada juara tempatan kepada ikon nasional.
“Apabila perniagaan tempatan berkembang, ekonomi negara juga akan turut berkembang bersama mereka,” katanya ketika berucap pada edisi ketiga Alliance Bank BizSmart® Business Conference 2026 di W Hotel Kuala Lumpur pada Selasa.

Kellee Kam ketika berucap pada edisi ketiga Alliance Bank BizSmart® Business Conference 2026 di W Hotel Kuala Lumpur pada Selasa.
Bertemakan From Local Champions to National Icons, persidangan itu menarik lebih 900 usahawan, pemimpin perniagaan dan rakan ekosistem, sekali gus menjadi penganjuran terbesar sejak ia diperkenalkan.
Persidangan berkenaan memberi tumpuan kepada strategi pengembangan perniagaan, rangka kerja kewangan, penggunaan teknologi serta pembinaan rangkaian rentas sempadan bagi membantu PMKS meningkatkan skala operasi masing-masing.
Antara pengisian utama ialah perkongsian pengalaman daripada jenama tempatan seperti Christy Ng, TRAPO, Tanamera Tropical Spa, Oriental Kopi, Bayu Somerset dan KANTIN dalam membawa perniagaan ke pasaran serantau dan global, termasuk cabaran mengekalkan identiti tempatan ketika berkembang.
Royal Selangor International pula berkongsi pengalaman membina jenama warisan yang kukuh, manakala Loob Holding mengetengahkan strategi mengembangkan kejayaan domestik ke peringkat serantau dan global.
Dari sudut pendigitalan, OxWhite, Nateskin dan beBit TECH membincangkan strategi pertumbuhan menerusi model terus kepada pengguna (direct-to-consumer) serta usaha pemodenan perniagaan. Dalam masa sama, EasyParcel dan Cleverus memberi tumpuan kepada aspek logistik dan perdagangan rentas sempadan.
Persidangan itu turut mengetengahkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam penyelesaian perniagaan kepada perniagaan (B2B), selain membincangkan akses kepada modal dan strategi keluar (exit strategy). Perkongsian daripada wakil 1337 Ventures, Sunway iLabs dan Cradle Fund turut memberi pendedahan mengenai pilihan pembiayaan serta laluan pertumbuhan yang sesuai untuk syarikat tempatan.
Usaha memperkukuh pertumbuhan PMKS juga diteruskan menerusi Alliance Bank BizSmart® Challenge, iaitu program pemecutan yang menawarkan pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Dalam pada itu, penganjuran tahun ini turut menyokong kempen Visit Malaysia 2026 dengan mengetengahkan identiti kesemua 13 negeri menerusi motif batik yang diinspirasikan daripada bunga rasmi setiap negeri.



