Padah buat aksi 'wheelie' dan 'superman,' dua remaja ditahan

Padah buat aksi 'wheelie' dan 'superman,' dua remaja ditahan

am@hmetro.com.my

Marang: Padah melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman’ dua remaja ditahan dalam operasi samseng jalanan di Jalan Marang-Wakaf Tapai (Bukit Kolam) petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, operasi bermula pada jam 5.30 hingga 7.30 petang itu memfokuskan kepada aktiviti samseng jalanan di kawasan terbabit.

Menurutnya, sepanjang operasi dan pemantauan dilakukan pihaknya mengesan beberapa kumpulan motosikal sedang berkumpul dan membuat bising di kawasan sekitar jalan terbabit.

Katanya, berikutan itu dengan kekuatan dua pegawai dan 20 anggota pihaknya melakukan serbuan dan tindakan pantas diambil ke atas semua penunggang motosikal berkenaan.

“Pemantauan dan pemerhati awal yang dilakukan mengesan dua motosikal ditunggang dua lelaki berusia 15 dan 16 tahun menunggang motosikal secara berasingan sedang melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman.’

“Tindakan remaja itu bukan saja berbahaya kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu ditahan manakala motosikal juga dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, hasil operasi yang dijalankan juga seramai 15 orang remaja berusia 15 hingga 17 tahun, manakala lelaki dewasa seramai 13 orang berusia 18 hingga 28 tahun ditahan dan 24 buah motosikal disita.

Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dan prihatin terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak terutama dalam penggunaan motosikal.

Katanya, kesemua yang ditahan kemudian diminta menunaikan solat qada Maghrib berikutan mereka ditahan ketika sudah memasuki waktu solat dan Isyak secara berjemaah sebelum dibebaskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top