mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tujuh lagi karya seni yang disimpan di rumah lelong barangan mewah Christie’s di Amerika Syarikat (AS) dan dikaitkan dengan skandal 1MDB, kini sedang dalam usaha untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM berjaya memulihkan lebih 70 peratus daripada aset 1MDB iaitu RM30 bilion daripada keseluruhan RM42 bilion.
Menurutnya, ia adalah kadar tertinggi di dunia berbanding purata global kurang daripada 30 peratus.
“Baru-baru ini, kerajaan Malaysia diterajui SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai hampir RM800,000 yang dibeli dengan dana 1MDB yang diselewengkan.
“Sementara itu, tujuh lagi karya seni yang disimpan di Christie’s sedang diusahakan untuk dikembalikan (bawa pulang) dari Amerika Syarikat.
“Pemulihan aset bermakna penjimatan kos dan menghentikan ketirisan hasil negara. Pemulihan aset juga bukan hanya soal hukuman, ia soal keadilan, pemulihan maruah pentadbiran serta memulangkan hasil untuk manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Media SPRM ke-6 Tahun 2025, hari ini.
Beliau berkata, di sebalik cabaran operasi itu, terdapat satu lagi cabaran yang tidak kurang besar iaitu mengurus persepsi dan naratif.
“Penjenayah kini berusaha untuk meneutralkan atau menutup kesalahan yang mereka lakukan demi kepentingan diri sendiri.
“Mereka melakukannya dengan pelbagai cara seperti menimbulkan keraguan terhadap institusi, mempengaruhi persepsi umum, mewujudkan dakwaan yang tidak berasas serta diulang sehingga seolah-olah menjadi kebenaran, manakala fakta yang sahih pula tenggelam dalam kebisingan maklumat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




