anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Raih keuntungan ratusan ribu ringgit hasil jualan pelbagai beg tangan dan tali pinggang diperbuat daripada kulit haiwan liar dan buaya tanpa kebenaran sah.
Itu antara tindakan tiga individu ditahan pihak berkuasa sebelum pelbagai barangan kulit bernilai lebih RM500,000 dirampas.
Sumber berkata, kegiatan itu dibongkar selepas premis perniagaan terletak di Cheras di sini diserbu sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) bersama anggota Cawangan Risik Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah jam 11.40 pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, melalui risikan Operasi Bersepadu Khazanah itu, suspek disyaki menjual pelbagai barangan berasaskan kulit haiwan liar dilindungi.
“Tiga individu warga tempatan ditahan untuk soal siasat.
“Pemeriksaan menemui 86 unit beg tangan diperbuat dari kulit haiwan liar dan 14 unit tali pinggang kulit haiwan,” katanya.
Menurutnya, suspek ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis manakala semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan PERHILITAN untuk tindakan lanjut.
Difahamkan sebarang kegiatan perdagangan barangan berasaskan hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




