Istanbul: Jurulatih Fenerbahce, Jose Mourinho, digantung satu perlawanan dan didenda oleh Persatuan Bolasepak Turkiye (TFF) selepas mengkritik prestasi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika kemenangan 3-2 Super Lig ke atas Trabzonspor.
Trabzonspor diberikan dua sepakan penalti pada separuh kedua hasil campur tangan VAR, dan apabila kedudukan terikat 2-2, Mourinho berang apabila satu cabaran terhadap Bright Osayi-Samuel tidak dihukum.
Jurulatih Portugal itu mendakwa bahawa pegawai VAR, Atilla Karaoglan, terlepas insiden berkenaan, sambil menambah bahawa liga Turkiye ‘bau busuk’ dan peminat antarabangsa tiada sebab untuk menonton liga berkenaan.
TFF berkata, dalam satu kenyataan bahawa komen Mourinho adalah ‘bertentangan dengan semangat kesukanan, etika sukan atau pemahaman fair-play’.
Badan itu menambah bahawa kenyataan Mourinho bertujuan untuk merosakkan reputasi TFF, merendahkan nilai bola sepak Turkiye, serta menjejaskan atau merendahkan kewibawaan pengadil dan pegawai pertandingan yang lain.
Mourinho didenda AS$18,000 (RM81,000) atas kelakuan tidak beretika dan perlakuannya terhadap penyokong pasukan lawan.
Naib Presiden Fenerbahce, Acun Ilicali, juga didenda kerana mengkritik pengadilan dalam satu kenyataan di laman web kelab berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




