am@hmetro.com.my
Jasin: Remaja lelaki dicekup polis gara-gara menyamar anggota badan beruniform itu bagi menakut-nakutkan mangsanya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan susulan aduan dibuat gadis berusia 19 tahun selepas kejadian pada Rabu lalu.
Katanya, mangsa mendakwa ketika kejadian dia ditahan seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal Yamaha Y15 di persimpangan lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau pada Rabu lalu, kira-kira jam 2 pagi.
“Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta mangsa mengeluarkan lesen memandu serta cuba mengambil kunci motosikalnya.
“Namun mangsa enggan menyerahkan dan memberitahu untuk ke Balai Polis Merlimau jika mahu mengambil tindakan lanjut terhadapnya,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Mohamad Rusli berkata, tersentak dengan tindakan mangsa, lelaki itu membatalkan hasrat untuk menahannya dan beredar dari lokasi.
“Bertindak atas maklumat pada jam 9 malam tadi, polis menangkap lelaki terbabit di sebuah pasar raya berdekatan Kawasan Perindustrian Telok Mas.
“Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku terbabit jenayah dengan menyamar sebagai anggota polis sebanyak dua kali di kawasan Merlimau,” katanya.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan suspek termasuk motosikal yang digunakan dan dia direman tiga hari mulai hari ini hingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd