KUALA LANGAT: Pertukaran syarat kegunaan tanah dalam geran untuk penanaman kelapa sawit daripada tanaman lain perlu dipermudahkan oleh pihak kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa yang mentadbir urusan tanah.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata,sebanyak 50,000 hektar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit di seluruh negara dikenal pasti terlibat dengan masalah tersebut.
“Saya hendak beritahu kepada semua kerajaan negeri untuk melihat semula sebahagian tanah yang ditanam kelapa sawit dulu dalam geran kegunaan tanah adalah untuk tanaman getah.
“Tetapi apabila kita hendak buat Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) Peraturan Kesatuan Eropah (EU) Mengenai Penebangan Hutan (EUDR), hakmilik sah perlu dinyatakan untuk tanaman kelapa sawit.Kebanyakan pemilik tanah yang terlibat tidak tukar syarat kegunaan tanah (kepada kelapa sawit) dan masih untuk tanaman getah,sebab mereka kena bayar premium yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluncurkan Projek Rintis Biodiesel Sawit B30 di Golden Hope Academy, Pulau Carey di sini semalam.
Katanya lagi, oleh kerana premium yang tinggi dikenakan oleh kerajaan negeri hingga mencecah RM30,000 hingga RM40,000 maka pertukaran syarat kegunaan tanah gagal dilakukan oleh pemilik tanah.
“Satu lagi ia juga melibatkan penalti (denda)kerana lambat tukar syarat kegunaan tanah tersebut. Itu yang menjadi masalah.
“Justeru saya akan tengok bagaimana ia boleh diselesaikan.Saya akan dapatkan senarai lengkap pihak yang terlibat dengan perkara ini yang dianggarkan 50,000 hektar,” katanya.
Mengulas lanjut isu tersebut,pihaknya akan berunding dengan kerajaan negeri untuk memansuhkan denda lewat tukar syarat kegunaan tanah tersebut.
Tambahnya, ini disebabkan industri kelapa sawit sangat penting kepada pihak kerajaan negeri dan negara daripada sudut ekonomi. – UTUSAN
