Tengkorak gajah Asia ditemui nelayan ditempatkan di Muzium Kedah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Tengkorak gajah Asia (Elephas Maximus) seberat 50 kilogram (kg) yang ditemui nelayan di Pantai Leman, Kuala Kedah tahun lalu kini ditempatkan di Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK).

Pengarah Muzium Kedah, Suhaidi Shukri, berkata tengkorak gajah itu baru diserahkan kepada pihaknya oleh pihak PERHILITAN, Selasa lalu.

Beliau berkata, kajian makmal diperlukan untuk mengetahui usia sebenar tengkorak gajah berkenaan serta jantinanya.

“Setakat ini, berdasarkan saiz dan bentuk tengkorak berkenaan, ia adalah gajah dewasa.

“Ia berkemungkinan berusia ratusan tahun namun kajian lanjut perlu dilakukan oleh pihak yang pakar, ” katanya ditemui di Muzium Negeri Kedah, hari ini.

Suhaidi berkata, tengkorak gajah itu ditemui nelayan ketika mencari siput di pesisir pantai di Pantai Leman, Kuala Kedah pada 27 September tahun lalu.

Katanya, ketika ditemui, keseluruhan tengkorak gajah itu tertanam dalam pasir kecuali gigi dan ia dipindahkan oleh dua individu ke kawasan jeti berkenaan.

Beliau berkata, tengkorak gajah itu dikenal pasti melalui gigi dan keadaan bentuknya sebelum disahkan oleh PERHILITAN.

Media pada September tahun lalu melaporkan, seorang nelayan menemui tengkorak seekor gajah dipercayai ketika era Perang Kedah-Siam berhampiran Kota Marina, di Kuala Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top