Penerbangan MH89 dibatalkan kerana masalah teknikal, penumpang dan kru selamat – Malaysia Airlines

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines hari ini mengesahkan penerbangan MH89 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo ke Kuala Lumpur tidak meneruskan proses berlepas pagi tadi susulan masalah teknikal melibatkan satu daripada enjinnya.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata semua penumpang dan kru di dalam pesawat berkenaan juga selamat.

“Penerbangan itu kemudiannya dibatalkan dan pesawat sedang menjalani pemeriksaan teknikal menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Malaysia Airlines berkata semua penumpang yang terjejas dibantu untuk urusan perjalanan seterusnya dan akan ditempatkan dalam penerbangan tersedia yang berikutnya.

“Makanan, akses lounge dan penginapan hotel turut disediakan jika berkenaan, manakala urusan perjalanan alternatif sedang dibuat untuk penumpang yang terjejas,” katanya.

Syarikat penerbangan itu memohon atas kesulitan yang berlaku, selain menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang sepanjang menghadapi situasi berkenaan.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru kekal menjadi keutamaan tertinggi syarikat penerbangan ini,” katanya.

Terdahulu dilaporkan asap hitam kelihatan dari pesawat berkenaan ketika ia bergerak menuju landasan lapangan terbang itu kira-kira 10.40 pagi waktu tempatan di Tokyo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top