TEHERAN: California menjadi ‘sasaran balas’ Iran selepas Presiden Donald Trump melabel Selat Hormuz sebagai ‘wilayah baharu’ Amerika Syarikat (AS).
Sebuah akaun media sosial rasmi Iran melabel California sebagai ‘wilayah baharu’ Iran pada Selasa sebagai tindak balas terhadap Trump, yang memuat naik imej menggambarkan Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada AS, lapor Anadolu.
Trump berkongsi imej berkenaan menerusi akaun Truth Social miliknya kelmarin, memaparkan peta Selat Hormuz dengan laluan perairan strategik itu dibulatkan di bawah tulisan ‘Wilayah Baharu AS’.
Hantaran itu dibuat selepas Trump sebelum ini berkata Selat Hormuz akan dijadikan wilayah AS selepas perang berakhir.
Rumah Putih kemudian berkongsi semula hantaran Trump menerusi akaun rasminya di platform X.
Sebagai tindak balas, akaun rasmi Iran in Hyderabad di X memuat naik peta AS dengan California ditandakan warna biru, disertai tulisan ‘Wilayah Baharu Republik Islam Iran’.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, turut membalas hantaran Trump menerusi X dengan memberi amaran bahawa kenyataan Presiden AS itu mengenai Selat Hormuz akan diperbetulkan.
“Khayalan beliau mengenai Selat Hormuz tidak lama lagi sama ada akan diperbetulkan, atau kami akan memperbetulkan khayalan lelaki yang berkhayal ini,” katanya.
California, khususnya kawasan Los Angeles, menjadi lokasi tumpuan terbesar masyarakat berketurunan Iran di luar negara itu. Dianggarkan seramai 141,000 rakyat Amerika berketurunan Iran menetap di Los Angeles County, menurut Papan Pemuka Diaspora Iran yang dikendalikan Pusat Pengajian Timur Dekat, UCLA.
Komuniti Iran di California Selatan berkembang dengan ketara selepas Revolusi Islam Iran pada 1979, dengan kawasan Westwood di Los Angeles muncul sebagai pusat utama kehidupan diaspora Iran yang lazim dikenali sebagai ‘Tehrangeles’.
Pertukaran sindiran itu berlaku ketika ketegangan antara Tehran dan Washington semakin memuncak selepas konflik berlarutan selama beberapa bulan.- AGENSI


