am@hmetro.com.my
Sandakan: Gara-gara memiliki 490 biji telur penyu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Manan Sabung yang tiada pengenalan diri turut diperintahkan membayar denda RM50,000 atau dikenakan 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.
Hukuman itu dijatuhkan terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Tertuduh didakwa memiliki telur spesies Penyu Hijau (Chelonia mydas) dan Penyu Sisik (Eretmochelys imbricata) di tepi jalan berhadapan sebuah premis di Sandakan, pada jam 5.50 petang, 7 Jun lalu.
Kedua-dua spesies berkenaan disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 dan Nombor 9 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Roslinda turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




