Padah 'tumbuk' mesin ATM

Padah 'tumbuk' mesin ATM

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Seorang pemandu lori didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menumbuk skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Tertuduh P Manoharan, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan, Manoharan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di pekan Lukut, di sini, pada 11.10 pagi, 9 Januari lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding kes, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum atas alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh.

Dalam kejadian 9 Januari itu, lelaki terbabit ditahan polis selepas pembantu pengurus di bank berkenaan membuat laporan polis.

Wanita berusia 54 tahun itu memberitahu, lelaki terbabit tiba di bank berkenaan 11.10 pagi untuk mengeluarkan wang, namun tiba-tiba menumbuk mesin ATM, walaupun cuba dihalang pengawal keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top