Padah ubah suai motosikal secara ekstrem

Padah ubah suai motosikal secara ekstrem

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Langat: Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 milik seorang lelaki tempatan disita kerana didapati diubah suai secara ekstrem baru-baru ini.

Motosikal milik seorang pemuda berusia 21 tahun itu bukan sahaja diubahsuai malah ketika ditahan didapati tidak mempunyai brek belakang yang juga elemen keselamatan penting pada kenderaan.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki itu ditahan menerusi operasi penguatkuasaan di Kilometer (km) 9 Jalan Klang-Banting.

“Penunggang berkenaan bukan sahaja mengubah suai motosikal secara ekstrem malah tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah.

“Selain itu, motosikal terbabit juga tidak mempunyai insurans dan LKM (cukai jalan) tamat tempoh,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pemuda terbabit mendakwa menggunakan motosikal berkenaan bagi tujuan ulang alik ke tempat kerja di Pelabuhan Klang.

Katanya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada brek belakang, tayar terlalu kecil, dan lengan ayun serta sproket yang juga terlalu kecil.

“JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan jalan raya.

“Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top