puterialia@hmetro.com.my
PERKEMBANGAN pesat kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan karya kreatif tidak sedikit pun menggentarkan pengacara versatil, Datuk Aznil Nawawi, 64, atau lebih mesra disapa Pak Nil.
Lantas Pak Nil mengambil langkah proaktif dengan mentransformasikan evolusi muziknya menerusi eksperimen teknologi masa kini.
Menurutnya, penggunaan AI dalam penghasilan muzik tidak sewajarnya dilihat sebagai fenomena yang menafikan peranan manusia dalam seni, tetapi ia adalah perkembangan teknologi yang boleh meluaskan idea kreatif seseorang.
Selepas lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni menerusi pelbagai cabang seperti pengacaraan, lakonan, penyampai radio, penerbitan dan nyanyian, figura yang diberi julukan pengacara nombor satu Malaysia ini mencipta sejarah baharu sekali gus merealisasikan impian yang lama dipendamnya.
Dengan penuh rasa bangga, Pak Nil memperkenalkan penubuhan kumpulan vokal menampilkan kekuatan harmoni sebagai identiti utama hasil cetusan ideanya yang diberi nama K4LAM.
Kumpulan dibentuk secara berperingkat bermula Februari 2026 dianggotai gabungan empat anggota lelaki yang dipercayai mampu mengetengahkan konsep terutama eksperimen gabungan AI dan manusia.
Bukan ‘orang asing’ dalam industri, empat pengemudi K4LAM ini sebenarnya sudah memiliki portfolio tersendiri dalam bidang seni kreatif.
Mereka adalah Isa Khan, 33, Danny, 22, Zulhilmi Zolkefli, 28, dan Allif Firdaus, 25, yang kesemuanya mendapat bimbingan terus daripada penerbit terkenal, AG Coco.
K4LAM ditubuhkan hasil pertemuan awal Pak Nil bersama Isa Khan sebelum Danny, Zulhilmi dan Aliff menyertai kumpulan ini selepas lulus uji bakat terbuka.
Mereka disifatkan sesuai dengan konsep yang diketengahkan berasaskan idea besar Pak Nil, sebelum AG Coco memberikan sentuhan emasnya untuk memperkemas serta mempersiapkan K4LAM dalam pasaran muzik.
Bercerita mengenai idea menggunakan AI menerusi karya K4LAM, Pak Nil berkata, dia mula mendalami penggunaan teknologi itu selepas mempelajari cara membentuk ‘prompt’ yang tepat.
Langkah itu dilakukan bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik yang benar-benar menepati gambaran kreatifnya.
“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” ujar Pak Nil dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, sejarah muzik sendiri memperlihatkan bagaimana teknologi berulang kali mengubah kaedah manusia menghasilkan karya daripada teknologi rakaman, instrumen elektronik dan synthesizer kepada produksi muzik berasaskan komputer serta teknologi digital.
Dalam pada itu, Pak Nil melihat kehadiran AI sebagai kesinambungan daripada evolusi berkenaan, bukannya satu penutup atau pengakhiran kepada kreativiti manusia.
“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan berbeza.
“AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana ia digunakan tetap manusia. Apa yang penting bukan semata-mata siapa atau apa yang menghasilkan bunyi itu. Persoalannya bagaimana manusia menggunakan teknologi berkenaan dan bagaimana kita bertanggungjawab terhadap hasilnya,” katanya lagi.
Maka dengan niat memanfaatkan AI sebagai sebuah eksperimen, AG Coco menyempurnakan hasrat Pak Nil menerusi penghasilan single pertama K4LAM yang diberi judul MUSA.
Menariknya, pembikinan MUSA lahir dalam ‘bungkusan’ eksplorasi antara kreativiti Pak Nil dan AG Coco yang ‘disandingkan’ dengan bentuk melodi serta irama bersesuaian konsep yang diinginkan.
Lebih mengujakan, lirik lagu MUSA turut mempunyai dimensi kerohanian yang mendalam apabila menggunakan ayat terjemahan al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml.
Pak Nil bagaimanapun menegaskan tidak pernah menganggap karya berkenaan sebagai ciptaan peribadinya semata-mata.
Selain sangat memegang erat soal etika sebagai prinsip utama, beliau turut menyentuh tentang isu pengiktirafan terhadap penerbitan MUSA.
“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Pada saya, soal pengiktirafan itu penting. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita kena jujur tentang bagaimana karya itu terhasil.
“Kalau kita menggunakan AI untuk membantu menghasilkan sesuatu, kemudian kita ambil seluruh kredit dan mengaku ia ciptaan kita, saya rasa itu juga tidak beretika.
“Sebab itu saya tidak pernah dan akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil,” katanya tegas.
Bagaimanapun, proses penghasilan MUSA tetap mengekalkan sentuhan manusia dalam aspek produksi dan vokal menerusi AG Coco sebagai penerbit, manakala rakaman suara K4LAM dilakukan di studio miliknya, Kamar Seni.
Malah Pak Nil turut mengakui lagu MUSA juga tidak pernah dirancang sebagai sebuah karya untuk dipertandingkan dalam mana-mana anugerah.
Sebaliknya, Pak Nil melihat ia sebagai sebuah eksperimen kreatif yang cuba mempertemukan teknologi kontemporari dengan mesej jauh lebih besar daripada dirinya sendiri.
“Saya tahu mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak selesa dengan pendekatan ini. Saya terima dengan berlapang dada.
“Cuma secara peribadi Pak Nil berpendapat, jika teknologi yang ada hari ini boleh kita gunakan untuk membawa seseorang lebih dekat kepada kalam Allah, saya rasa itu sesuatu yang wajar diusahakan,” kongsinya.
K4LAM bukan sekadar sebuah kumpulan baharu yang mahu memperkenalkan empat suara dalam satu harmoni tetapi ia menjadi gambaran jelas bagaimana generasi baharu pencipta karya berhadapan dengan perubahan teknologi bukan dengan cara menafikannya.
Sebaliknya, penggiat seni kini mula mempelajari, menguji dan pada masa sama memahami batas etika dalam penggunaannya.
Daripada eksperimen itulah lahirnya MUSA, sebuah karya yang mempertemukan suara manusia, teknologi AI dan ayat terjemahan al-Quran dalam satu percubaan muzik yang cukup berbeza.
Bagi Pak Nil, nilai sebenar eksperimen itu bukan sejauh mana teknologi AI mampu menghasilkan sebuah lagu atau terletak pada siapa yang mendapat kredit tetapi ia terletak pada apa yang mungkin tercetus dalam jiwa pendengar selepas seseorang selesai mendengarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
