am@hmetro.com.my
BAKATNYA mula digilap dalam bidang seni selepas memenangi gelaran naib juara, program realiti Raja Lawak musim pertama di Astro pada 2007.
Malah, nama Zizan bukan sahaja dikenali sebagai pelawak sebaliknya juga sebagai pelakon dan pengacara serba boleh selepas 19 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.
Namun, kata Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 42, dia pernah melalui fasa takut untuk naik ke pentas sehingga terpaksa menolak banyak tawaran dalam bidang pengacaraan sebelum ini.
Menurut Zizan, dia tidak dapat memastikan sama ada keadaan yang dialaminya adalah ‘anxiety’ atau kebimbangan melampau ketika itu.
“Pernah ada satu ketika, saya sendiri tidak tahu sama ada saya mengalami ‘anxiety’atau apa tetapi saya berasa takut untuk naik ke pentas tapi orang tidak tahu mengenai perkara itu.
“Mungkin kerana saya terlalu banyak berlakon sehingga emosi itu terbawa-bawa. Apabila saya pergi ke tempat yang ramai orang atau menghadiri acara, saya mula berasa tidak selesa. Saya sendiri tidak tahu apa perasaan itu dan rasa lebih baik saya tidak pergi,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Borneo Rising di sini, baru-baru ini.
Ditanya bila kali terakhir dia mengacara pula, kata pelakon filem Polis Evo itu, dia tidak ingat tetapi memang sudah agak lama meninggalkan bidang pengacaraan.
Katanya, dia juga mengambil inisiatif untuk memberikan fokus kepada bidang perfileman dan banyak menolak tawaran pengacaraan ketika itu.
“Saya pun tidak tahu sama ada itu krisis di pertengahan usia atau disebabkan kerja. Apabila saya bekerja di lokasi penggambaran, saya memang akan berikan tumpuan 100 hingga 120 peratus.
“Kadang-kadang, selepas balik rumah pun saya masih teringat mengenai kerja. Saya jadi tertekan dan sedikit sensitif. Mungkin saya terlalu risau mengenai lakonan dan kerja.
“Apabila terlalu mendalami sesuatu watak, kadang-kadang ia berubah daripada sekadar ‘berlakon’ kepada seperti benar-benar ‘berlaku’ dan itu agak menakutkan,” katanya.
Sebagai selebriti yang sering dilihat ceria pada pandangan masyarakat, Zizan berkata, dia juga tidak mahu keadaannya ketika itu menjadi perhatian orang.
“Takkanlah kita mahu tunjuk sisi gelap atau perkara yang tidak baik kepada masyarakat kerana sebagai selebriti, kita juga menjadi ikon kepada segelintir golongan.
“Bukan bermaksud kita mahu berpura-pura atau hanya mahu tunjuk perkara yang baik. Tetapi ada perkara yang sesuai dikongsi dan sebaliknya,” katanya.
Tertarik dengan bakat Namie
Mengenai gandingan pengacara pula, kata Zizan dirinya bukanlah seorang yang cerewet dalam memilih pasangan pengacara dalam program dijayakan.
Katanya, dia juga lebih selesa jika pasangan pengacara saling membantu dan mengamalkan sifat saling memberi ketika mengendalikan sesebuah program.
“Cerewet atau tidak adalah subjektif tetapi apa yang penting adalah keselesaan. Tak dinafikan ada pengacara yang mengacara tetapi tidak menyokong antara satu sama lain.
“Saya boleh hadap tetapi lama-kelamaan saya akan ‘fed up’ jika asyik saya sahaja yang ‘memberi’ tetapi dia pula buat main-main dan tak hormat gandingan,” katanya.
Mengulas pengacara muda pula, kata Zizan, dia tertarik dengan cara penyampaian hos dan pelawak, Namie Smy.
Walaupun, Namie bukan berasal daripada industri hiburan tapi kata Zizan, dia berbakat besar dan cara penyampaiannya mendapat perhatian ramai.
“Saya suka tengok Namie. Dia bukan dari mana-mana platform dan bermula sebagai pempengaruh tetapi sebab bakatnya orang tetap nak tengok,” katanya.
Pada masa sama, Zizan turut mengingatkan mana-mana pengacara supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan medium media sosial.
Katanya, pengacara perlu menerima teguran orang ramai sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti pengacaraan.
“Pengacara kena lebih berhati-hati menggunakan medium media sosial.
Semasa sesi latihan program, hos juga kena nampak profesional. Apa yang orang cakap (tegur) di Threads itu, ambil perhatian dan perbaiki diri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zizan kembali terbabit dalam bidang pengacaran menerusi program realiti Borneo Rising bersama pengacara Sherry Al-Hadad bermula 6 September lalu.
Katanya, ia juga kali pertama dia bergandingan dengan Sherry dalam bidang pengacaraan.
“Sebenarnya, saya berasa gementar terbabit dalam program ini kerana sudah lama tidak mengacara.
“Tapi saya percaya, gandingan kami mungkin boleh memberikan kelainan dan warna kepada program ini. Sherry juga pengacara yang sangat bijak dan sentiasa peka dengan keadaan serta sangat menghiburkan,” katanya.
Selain gandingan Sherry dan Zizan selaku hos, Borneo Rising juga menampilkan barisan penyanyi popular seperti Marsha Milan, Shila Amzah dan Noh Salleh selaku juri tetap.
Program realiti yang khusus untuk mencungkil bakat rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Borneo akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria.
© New Straits Times Press (M) Bhd
