am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Kepakaran dalam ilmu falak dan astronomi serta sumbangan terhadap pendidikan sepanjang hayat mengangkat Datuk Dr Abdul Halim Abdul Aziz, 67, sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2025.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Fizik Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum bersara pada 2018 itu bertanggungjawab menetapkan takwim waktu solat Pulau Pinang dengan memperkenalkan kaedah pelbagai titik koordinat sejak lebih 10 tahun lalu.
Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang juga Jawatankuasa Falak Negeri Pulau Pinang serta Jawatankuasa Rukyah Hilal Pulau Pinang itu berkata, kaedah itu lebih tepat dan mewakili waktu solat seluruh zon negeri.
“Pendekatan ini mengambil kira pelbagai titik koordinat dalam satu zon dengan mengambil kira waktu paling lewat sebagai rujukan dan Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengguna pakai kaedah ini dan saya turut memperkenalkannya kepada beberapa negeri lain seperti Perak dan Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas penghormatan ini, saya terharu sebenarnya menerima anugerah ini sebab tidak diberitahu lebih awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah tersebut daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, hari ini.
Abdul Halim, bapa dua anak dan empat cucu itu menambah, selepas bersara beliau menubuhkan Pusat Literasi, Sains, Agama dan Falsafah (LISAFA) bertujuan mengumpulkan pesara dan masyarakat yang mendalami ilmu agama secara holistik demi manfaat masyarakat sejagat yang beroperasi sejak 2020.
“Saya menubuhkan LISAFA untuk golongan pesara supaya mereka kekal aktif dan mampu menyumbang kembali kepada dunia ilmu. Ketika ini LISAFA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga, Indonesia untuk menawarkan pengajian formal dalam bidang Islam pada peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Dalam hal ini, mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang berpeluang mengintegrasikan ilmu asal yang mereka ada dengan bidang falsafah dan agama, sekali gus membentuk kefahaman yang lebih luas, pelbagai dan berwarna-warni.
“Ini memandangkan, biasanya dalam sistem pendidikan, seseorang hanya fokus pada satu bidang. Tetapi bila kita sudah berusia dan ada lebih masa, kita boleh meneroka bidang-bidang lain,” katanya.
Sepanjang kerjayanya sebagai ahli akademik, Abdul Halim turut menyumbang dalam penyelidikan berkaitan fenomena astronomi yang berkait rapat dengan waktu solat dan penentuan kalendar Islam.
Antaranya termasuk pembangunan USM Astronomical Almanac, kajian teori dan empirik waktu fajar dan Isyak di altitud tinggi serta kriteria kenampakan anak bulan termuda bagi penambahbaikan takwim Hijrah.
Beliau yang juga menulis kepada beberapa jurnal dan prosiding ilmiah berprestij antaranya A Robust Unified Islamic Calendar Proposal for the World dan Kajian Bermulanya Waktu Fajar, menerima sijil penghargaan, trofi, hadiah sampingan dan wang tunai RM10,000 pada majlis berkenaan.
Pada majlis sama, Pengarah Perubatan dan Pakar Kanser Senior di ICON Cancer Centre Malaysia, Island Hospital, Datuk Dr Mohamed Amir Shah Abdul Aziz dinobat sebagai penerima Anugerah Ikon Pendakwah.
Bapa kepada 13 cahaya mata itu menjadi sosok yang menggabungkan kepakarannya dalam bidang perubatan dengan kekuatan jiwa dakwah demi membina kehidupan yang lebih bermakna buat ummah termasuk memberi rawatan kanser percuma kepada golongan memerlukan.
Sementara itu, Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub, 56, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutifdan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima Anugerah Khas manakala Allahyarham Seetee Aisah Mahmood diiktiraf sebagai Ikon Keluarga Sakinah kerana sumbangannya besarnya mewakafkan tanah miliknya sebagai Wakaf Kekal sejak 30 September 1901.
© New Straits Times Press (M) Bhd