Pakej bantuan kurangkan beban rakyat hadapi krisis kesihatan dunia

Pakej bantuan kurangkan beban rakyat hadapi krisis kesihatan dunia

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada rakyat yang disediakan kerajaan di bawah pakej bantuan dan rangsangan setakat ini adalah menyeluruh dan sejajar dengan pelaksanaan di negara serantau dan maju lain dalam membantu mengurangkan beban rakyat menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku dicetuskan COVID-19.

Penularan pandemik itu telah mencetuskan krisis kesihatan sedunia dan krisis ekonomi pada skala yang tidak pernah dialami di peringkat global sebelum ini.

Justeru, kerajaan dengan pantas merangka pakej bantuan bagi membantu rakyat dengan tumpuan dalam enam bidang utama iaitu perlindungan pendapatan; bantuan tunai langsung; moratorium pinjaman; cukai; bantuan sumbangan dan perubatan serta insurans.

Keenam-enam bidang utama itu juga menjadi tumpuan bantuan yang disediakan negara lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand, China, Taiwan, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Antara bantuan rakyat yang telah dilaksanakan Malaysia setakat ini ialah bantuan segera dan tunai seperti seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin Subsidi Upah, Bakul Makanan, pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, moratorium pinjaman dan insentif mencari pekerjaan.

Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKSA+) berjumlah RM40 bilion dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion, bantuan tambahan disediakan untuk membantu rakyat dan perniagaan bertahan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bantuan tambahan PEMERKASA+ bertujuan membantu rakyat dan perniagaan bertahan bagi Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh untuk Jun 2021, sementara PEMULIH pula bagi menyokong peralihan ke Fasa Kedua, Ketiga dan Keempat.

Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam membantu rakyat meneruskan kehidupan dan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi terutama bagi golongan terjejas.

Beliau berkata, pihak kerajaan memang meneliti dari segi pakej yang diumumkan di pelbagai negara sebagai sebahagian usaha memastikan pakej yang diumumkan kerajaan adalah komprehensif dan selaras dengan amalan terbaik.

Namun, katanya, setiap negara mempunyai keunikan sendiri dalam langkah yang dilaksanakan, justeru adalah tidak sesuai untuk membandingkan langkah dilaksanakan dari satu negara ke negara lain.

“Apa yang penting bagi Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan yang menyeluruh,” katanya dalam satu temubual secara maya baru-baru ini.

Setakat pertengahan 2021, lebih RM200 bilion telah dibelanjakan kerajaan menerusi pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan dengan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan mendapat manfaat.

Sejak Mac 2020, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion untuk membendung penularan COVID-19 dan pada masa yang sama meringankan beban rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.

Pelbagai bantuan tangani tekanan ekonomi rakyat

Inisiatif pengurusan krisis oleh kerajaan sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara demi membantu kelangsungan hidup rakyat dilihat sebagai usaha terbaik membantu mengurangkan beban yang ditanggung selama ini.

Pelbagai usaha pemulihan dan bantuan dilaksanakan hingga ke akar umbi untuk memastikan rakyat tidak berdepan tekanan melampau terutama dari sudut ekonomi dan kesihatan.

Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata usaha kerajaan selama ini begitu positif dengan menyalurkan pelbagai bantuan berpatutan selari dengan keperluan rakyat ketika ini.

Katanya, moratorium, subsidi upah, inisiatif mencari pekerjaan untuk siswazah, penyerahan bakul makanan dan bantuan kecemasan COVID-19 antara inisiatif yang sekurang-kurangnya melegakan beban ditanggung rakyat.

“Ketika kerajaan berusaha menguruskan krisis kesihatan ini, dalam masa yang sama tidak lupa untuk memastikan kebajikan rakyat di seluruh negara, dan perkara ini harus dipuji.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pemberian pakej rangsangan ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah dihadapi rakyat.

Katanya, walaupun kerajaan tersepit disebabkan hasil dan cukai tidak dapat diperoleh kerana sektor ekonomi tidak dapat dibuka, namun kerajaan tetap berusaha membantu setiap golongan masyarakat.

“Kita amat bersyukur dengan usaha ini dan kerajaan juga dilihat berani untuk meminjam demi membantu rakyat, ini adalah suatu yang luar biasa.

“Jika kita lihat pendapatan perkapita negara maju jauh lebih tinggi daripada kita, tapi negara masih mampu untuk setanding dalam bentuk saluran bantuan kepada rakyat.

“Ada negara yang tidak mampu melakukan seperti mana kerajaan kita laksanakan, jadi kita harus bersyukur,” katanya.

Menerusi pakej rangsangan kepada rakyat, kerajaan sentiasa memastikan bantuan tunai berterusan kepada kumpulan terjejas susulan penularan pandemik COVID-19 dengan sebanyak RM10 bilion lagi di bawah bantuan tunai akan disalurkan separuh kedua tahun ini.

Sehingga Mei 2021, sebanyak RM4.7 bilion bantuan tunai telah disalurkan dan dari Jun hingga Disember tahun ini, setiap bulan akan ada bantuan tunai tersendiri yang akan memanfaatkan isi rumah miskin tegar, B40 dan M40.

Bantuan berterusan itu adalah berikutan pelaksanaan lapan pakej bantuan dan rangsangan yang melengkapi antara satu sama lain dalam membantu meringankan beban dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara, khususnya kepada golongan yang masih terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top