am@hmetro.com.my
Batu Kawan : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meningkatkan penggunaan sistem pendigitalan dalam perkhidmatan sebagai usaha mengurangkan fitnah dan tohmahan orang awam terhadap agensi itu.
Anwar berkata, JPJ adalah satu agensi yang berdepan secara terus dengan rakyat, maka menyebabkan kebanyakan tindakan diambil kurang disenangi, apatah lagi dalam zaman media sosial ketika ini.
“Dalam keadaan dipantau langsung, apatah lagi, media sosial hari ini, ada yang menegur, berdasarkan nilai dan akhlak termasuk ada yang menegur secara nafsu serakah dan kebencian, jadi ia ujian pada kita.
“Jadi, saya ingin berikan peringatan dan saranan supaya keluarga JPJ, terima ini dengan cara positif kerana dunia berubah dan tidak ada salah kalau dalam kalangan masyarakat kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik.
“Oleh sebab itu, JPJ harus meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan tugas ini dan langkah pendigitalan (yang dilaksanakan) itu sangat wajar kerana dia melepaskan kita daripada kemungkinan tomahan yang bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, di bawah pentadbirannya sememang memberi fokus kepada transformasi digital dengan tidak boleh mengekalkan kaedah lama sekiranya mahu menjadi negara maju sekali gus meningkatkan kredibiliti serta integriti.
“Negara (maju) itu harus ada keupayaan mencari jalan helah kebijakan ikhtiar untuk meningkat lebih baik.
“Dia bukan saja amal, bukan saja kerja, tetapi mesti bergerak untuk mencari kesempurnaan, meningkat keupayaan supaya lebih baik iaitu bukan mengekalkan sistem dan kaedah yang lama.
“Jadi kepada seluruh keluarga JPJ, saya terus memberi dorongan untuk meneruskan, mudah-mudahan JPJ berkembang, maju, matang, sebagai salah satu jabatan yang mempelopori perubahan ini dan menerima beberapa kelemahan yang ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




