Palestin akan jadi maju – Ustaz Wadi Annuar

Palestin akan jadi maju – Ustaz Wadi Annuar

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mencadangkan satu visi untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Timur Tengah’.

“Ini boleh menjadi sesuatu yang sangat luar biasa,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Menurut Trump, semua orang yang membincangkan isu Gaza menyukai idea AS memiliki tanah itu, membangunkannya dan mencipta ribuan pekerjaan.

Pihaknya akan bertanggungjawab membersihkan semua bom yang tidak meletup dan senjata berbahaya di kawasan itu, ujarnya.

TRUMP bercadang mengambil alih Semenanjung Gaza untuk dimajukan. Foto CANVA

TRUMP bercadang mengambil alih Semenanjung Gaza untuk dimajukan. Foto CANVA

Namun di sebalik rancangan itu, Trump mencadangkan semua penduduk Gaza berpindah secara kekal di negara-negara jirannya.

Persoalannya, apakah rancangan Trump untuk memajukan Semenanjung Gaza ini ada kaitan dengan hadis akhir zaman yang menyebut Baitulmaqdis akan menjadi maju.

Rasulullah SAW bersabda: “Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlaku perang besar. Berlakunya perang besar adalah tanda pembukaan Kota Costantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berbicara mengenainya, pendakwah terkemuka, Ustaz Wadi Annuar Ayub menjelaskan, Baitulmaqdis dan kawasan sekitarnya akan maju pada akhir zaman.

“Sebelum keluar Dajjal, Baitulmaqdis termasuk Gaza dan Syria akan berubah menjadi pusat pemerintahan dunia.

USTAZ WADI ANNUAR

USTAZ WADI ANNUAR

“Nabi Muhammad SAW menyebut, Baitulmaqdis dan sekitarnya akan menjadi makmur, maju dan membangun,” jelas Ustaz Wadi Annuar di akaun TikToknya baru-baru ini.

Beliau menambah, ramai orang akan pergi ke Baitulmaqdis dan kawasan tersebut akan menjadi maju dan mewah.

“Umat Islam juga akan berhijrah ke sana dan menumpukan perhatiannya ke sana,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ketika itu bandar Madinah akan menjadi sunyi sepi berbanding sekarang yang sentiasa diziarahi umat Islam.

“Suatu hari nanti Madinah akan sunyi. Perkara ini tidak dapat dibayangkan oleh akal kita namun ia akan terjadi sebelum keluarnya Dajjal,” jelasnya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam situasi semasa ini, umat Islam tidak boleh berasa selesa dengan berlepas tangan dan mengendurkan usaha dalam membantu saudara seagama di sana.

“Bahkan ini adalah waktu kita perlu menggandakan bantuan dan sokongan kerana mereka masih lagi berada dalam keadaan terdesak pada saat-saat yang gentir ini.

“Dalam usaha untuk memberi sinar harapan yang bermakna buat rakyat Palestin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah proaktif dengan menyatakan komitmen untuk membangunkan bandar wakaf di bumi Palestin dengan anggaran kos RM120 juta,” jelasnya.

Projek di kawasan tanah wakaf seluas 35.2 hektar itu telah dimeterai pada Februari 2023 melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri di Malaysia, sebuah masjid dan sebuah sekolah.

Selain itu katanya, turut dibangunkan taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan, sebuah klinik kesihatan dan menara tangki air yang menjadikannya satu ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan.

“Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyokong penuh terhadap usaha yang digerakkan ini kerana kami berpandangan bahawa pada waktu sekarang, isu kemanusiaan di Palestin merupakan antara isu umat Islam yang paling kritikal dan mendesak berbanding isu-isu lain sama ada di dalam atau di luar negara.

SEMENANJUNG Gaza kini musnah akibat dibedil rejim Zionis. Foto CANVA

SEMENANJUNG Gaza kini musnah akibat dibedil rejim Zionis. Foto CANVA

“Maka dari sudut pertimbangan keutamaannya, ia perlu didahulukan dan diutamakan berbanding isu selainnya,” jelasnya.

Tambahnya, situasi sekarang kita memberikan bantuan kepada saudara kita yang baru sahaja terselamat daripada peperangan dan kematian.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka terkontang-kanting tanpa sebarang pertolongan yang munasabah dalam membina semula kehidupan mereka yang normal.

“Bantuan demi kelangsungan hidup atau survival dalam memastikan mereka dapat membina kembali kehidupan di tanah air mereka adalah penting supaya cadangan untuk mengusir dan menempatkan mereka di luar tanah air mereka itu tidak dibangkitkan lagi,” hujahnya.

Pihaknya juga menyokong penuh usaha kerajaan dalam mengusahakan projek pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza ini sebagai satu bentuk solidariti daripada negara terhadap perjuangan suci rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan mereka.

“Selain itu, kami menasihati semua pihak agar tidak mempertikaikan niat dan usaha murni kerajaan ini yang ikhlas membantu rakyat Palestin yang baru sahaja keluar daripada kancah peperangan dan mengalami kemusnahan negara yang menyeluruh.

“Sesungguhnya usaha ini amat bermakna buat saudara-saudara kita di sana dalam memulihkan semula kehidupan mereka pada waktu-waktu yang mendatang ini,” katanya.

Scroll to Top