Vancouver: Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan keputusan FIFA yang tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Israel berhubung kelab yang berpangkalan di penempatan Tebing Barat, kata pegawai kanan PFA, semalam.
Langkah itu diambil ketika isu visa membabitkan beberapa delegasi turut menambah ketegangan menjelang Kongres FIFA.
PFA sejak sekian lama menegaskan kelab yang berpangkalan di penempatan Tebing Barat wilayah yang dihasratkan Palestin sebagai sebahagian negara masa depan tidak sepatutnya bersaing dalam liga kendalian Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
FIFA bulan lalu memaklumkan tiada tindakan akan diambil terhadap IFA atau kelab Israel dengan alasan status undang-undang Tebing Barat di bawah undang-undang antarabangsa awam masih belum diselesaikan.
“Disebabkan semua saluran undang-undang di FIFA sudah digunakan, kami tetap mengikut peraturan dan akan merayu keputusan itu kerana ia sangat tidak adil,” kata Naib Presiden PFA, Susan Shalabi selepas Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia di Vancouver, dua hari sebelum Kongres FIFA di bandar sama.
“Majlis FIFA membuat keputusan selepas 15 tahun perbincangan mengenai isu ini tanpa sebarang ketetapan. Jadi satu-satunya langkah yang ada adalah membawa kes ini ke CAS dan memfailkan rayuan. Kami akan melalui keseluruhan proses sehingga berjaya mendapatkan keadilan.”
Beliau kemudian memaklumkan kepada Reuters bahawa rayuan itu difailkan pada 20 April lalu.
CAS masih belum mengumumkan rayuan berkenaan dan tidak dapat memberikan komen dalam tempoh waktu operasi pada Selasa. FIFA juga belum memberikan sebarang maklum balas, manakala Reuters turut menghubungi IFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd



