“Paling senang salahkan DAP…” – Anthony Loke nafi campur tangan adat! Dakwa UMNO punca krisis politik

“Paling senang salahkan DAP…” – Anthony Loke nafi campur tangan adat! Dakwa UMNO punca krisis politik

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan dakwaan mengaitkan dirinya dengan krisis institusi adat di Negeri Sembilan, termasuk tuduhan kononnya beliau menyalurkan dana bagi mencetuskan pergolakan melibatkan Undang Sungai Ujong.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan adat yang disifatkannya sebagai di luar bidang serta tanggungjawabnya.

“Ada kata saya bagi duit kepada orang untuk kacau Datuk Undang Sungai Ujong. Ini cakap-cakap yang memang tak masuk akal langsung. Tetapi ada orang percaya.
“Fitnah macam ini, orang percaya. Sebab dia fitnah ini lebih senang dipercayai daripada kenyataan. Orang ingat betul. Orang ingat betul. Tetapi kita fikir-fikirkan. Apa kebaikan untuk saya untuk mencampuri urusan adat? Adat tak ada kena mengena dengan saya.
“Urusan adat itu adalah urusan di kalangan sistem adat. Apa manfaat kepada saya untuk mencampuri, untuk mengganggu sistem adat? Itu kita hormat. Kita hormat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang yang empat, Tunku Besar Tampin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama pengundi di Kampung Sungai Rotan, antara kawasan majoriti Melayu dalam DUN Chennah yang dipertahankannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Loke turut menafikan dakwaan mengaitkannya dengan pergolakan yang didakwa berlaku dalam institusi diraja Jelebu dan menegaskan beliau sentiasa menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, para Undang serta pembesar adat.

Menurutnya, tuduhan tersebut sengaja dimainkan oleh pihak lawan kerana DAP dan dirinya sering dijadikan sasaran politik yang mudah.

“Sebab, paling senang salahkan DAP. Paling senang salahkan saya. Orang lain, dia tak salah.
“Padahal, yang menyebabkan krisis berlaku ini sebab ada 14 Asun daripada Umno, tarik sokongan yang diketuai oleh Datuk Jalal (Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias).
“Kalau tidak tarik sokongan, kita selesaikan bersama, tak timbul hari ini perlu pilihan raya. Kita dah bekerja sama, tiga tahun lalu. Dan bentuk kerajaan negeri yang baik, yang stabil, yang boleh laksanakan kerja, tak menjadi masalah.
“Tetapi, tiba-tiba mereka menarik sokongan. Mereka mungkin lihat ada peluang, dia (Jalaluddin) naik sebagai menteri besar. Dia tarik sokongan, bergabung dengan lima Adun daripada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengaitkan Loke dengan krisis institusi adat di Negeri Sembilan, termasuk tuduhan kononnya beliau membiayai pihak yang mahu menggugat kedudukan Undang Sungai Ujong.

Susulan dakwaan itu, setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan berkenaan telah membuat laporan polis terhadap bekas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Loke.

Sumber: Malaysiakini

Scroll to Top