Los Angeles: Bintang Chelsea, Cole Palmer, buktikan dirinya hidup dalam dunia impian di dalam dan di luar padang apabila dilihat menggayakan jam tangan bernilai £220,000 (RM1.31 juta).
Ketika skuad The Blues berlepas ke Amerika Syarikat bagi kempen Piala Dunia Kelab, Palmer tampil dengan gaya yang mencuri perhatian.
Pemain berusia 23 tahun itu dilihat menggayakan jam tangan Richard Mille bertemakan Itali yang bernilai £220,000 (RM1.31 juta) sehingga menjadi bualan ramai.
Sejak berpindah dari Etihad ke Stamford Bridge dalam perpindahan besar, pemain sayap itu memikat hati penyokong dengan aksi lincahnya namun ternyata, dia bukan sekadar berbakat di atas padang.
Palmer turut mempunyai cita rasa tinggi terhadap jam tangan mewah.
Model Richard Mille RM 07-04 yang dipakai Palmer mencuri tumpuan dengan rekaan eksklusif yang diinspirasikan daripada budaya kereta mewah Itali.
Gabungan warna hijau, hitam, putih dan merah pada jam itu jelas memperlihatkan penghormatan kepada bendera Itali dan Palmer ternyata mempunyai gaya dan keyakinan untuk menggayakannya.
Dengan nilai mencecah £220,000 (RM1.31 juta), jam tangan itu diperbuat daripada titanium ringan.
Sangat sesuai untuk individu yang sentiasa bergerak sama ada terbang ke kejohanan antarabangsa atau menari mengelirukan pertahanan lawan.
Jam tangan Palmer seanggun gaya pemakaiannya.
Namun, bukan sekadar jam itu yang mencuri perhatian, malah Palmer sendiri tampak tenang menerima tumpuan ramai.
Pemain tengah itu dengan bersahaja mempamerkan jam mewahnya sambil leka melayari telefon bimbit.
Dan ini bukan kali pertama Palmer menunjukkan minatnya terhadap gaya hidup mewah akaun TikTok dan Instagram milik adik perempuannya sudah cukup menjadi bukti.
© New Straits Times Press (M) Bhd