Pandai kongsi, pandailah tanggung kecaman – Rosyam Nor

Pandai kongsi, pandailah tanggung kecaman – Rosyam Nor

NAMA pelakon hebat ini tidak pernah sepi dari kanvas seni tempatan. Baik dari seni bakat lakonan, kredibiliti sebagai anak seni dan juga, kontroversi yang pernah singgah dalam diari hidupnya.

Namun sebagai orang lama, Rosyam Nor tidak cepat melatah. Pengalaman banyak mengajar dia untuk matang dalam mengendali apa sahaja cemuhan, kecaman dan penafian. Tidak perlu dia layan semua.

Tambahan lagi, prinsip privasi yang diamalkan selama ini turut membantu keluarga daripada terkena tempias kontroversi yang diterima. Dia bijak dalam ‘menyorok’ ahli keluarga daripada percikan populariti dan sensasi.

Jawablah mendapatkan Rosyam Nor. Menjawab bagaimana privasi membantu dia dalam mengendali kontroversi? Adakah dia pernah dengan sengaja mengundang sensasi? Dan benarkah dia lantang tanpa fikir? Rosyam, Jawablah!

j: Abang dikenali sebagai seorang yang cukup privasi apabila melibatkan keluarga. Jarang sekali abang memuat naik atau berkongsi perihal keluarga di sosial media. Itu prinsip yang abang pegang selama bergelar anak seni?

R: Sebenarnya ada yang cakap saya ini sorok keluarga, tetapi tidak. Saya tak pernah sorok anak isteri daripada sesiapa cuma saya tidak libatkan mereka dalam kerja saya/ Saya tak mahu mereka diganggu.

Populariti ini adalah satu perkara yang kita sukar bendung. Saya tidak mahu mereka terkesan dengan apa sahaja yang saya lakukan, terutama di zaman media sosial ini kan. Setakat ini, saya seronok dengan prinsip dan cara saya.

J: Apa pendapat abang bila ada segelintir selebriti memuat naik hantaran yang secara sengaja atau tidak mengundang kecaman sehingga membawa kepada pembulian?

R: Dalam dunia media sosial hari ini, pandai kongsi pandailah tanggung. Sekarang dunia ibarat tiada tapisan kecuali kita yang letak. Saya memang menjaga privasi keluarga kecuali ketika anak kahwin atau cucu pertama lahir, itu saya kongsi.

Tetapi itu sahajalah. Kalau kita hendak harapkan komen-komen yang murni sahaja, memang susahlah kan. Saya sendiri pun, walau menjaga privasi tetap terima kecaman. Lebih-lebih lagi kalau ada yang sengaja undang kontroversi.

Terima sahajalah sebab tiada siapa yang buka pintu itu kecuali kita sendiri. Bila ada kesilapan yang tidak disengajakan, terima dengan hati terbuka kecuali bila ada yang melampau dan menghina.

J: Sekiranya di zaman awal abang berkecimpung dalam dunia seni sudah ada media sosial, adakah prinsip abang akan kekal sama? Atau berbeza?

R: Tidak ada beza pun zaman dulu dan sekarang. Dulu media adalah ‘Instagram, Facebook’ kami. Saya tetap menjaga privasi mereka. Ada sahaja saya ambil gambar bersama tetapi tidak terlalu berkongsi.
Itu cara saya menjaga privasi hidup, tak semua perlu ikut. Masing-masing ada pendekatan dan kemahuan sendiri. Terpulanglah.

J: Macam abang jawab, biarpun menjaga privasi abang tetap menerima kecaman. Ada yang menganggap abang seorang yang lantang tanpa berfikir? Mengeluarkan kenyataan kontroversi?

R: Saya anggap kecaman macam suara-suara nakal. Tetapi kecaman boleh membawa kepada pengaiban dan pembulian. Sebagai seorang anak seni, saya terima semua itu secara terbuka. Lumrah.

Tetapi ketahuilah, apa sahaja yang saya cakap dan buat, saya masih waras. Ada akal dan fikiran. Sebelum kecam, tengok, fikir dan faham dahulu apa konteks perbualan serta kenyataan saya.

Lantang? Tak fikir sebelum bercakap? Saya terima sahajalah apa pun yang orang cakap.

J: Tetapi adakah kontroversi seperti itu memberi impak kepada kredibiliti atau nama baik abang sebagai anak seni?

R: Adakala kenyataan saya disalah faham tetapi saya percaya, lama-lama orang akan mengerti apa yang saya cuba sampaikan. Saya bukan sengaja mahu undang kontroversi atau permasalahan.
Alhamdulillah, biarpun ‘dihempas ombak’ kontroversi, saya masih dilantik sebagai duta pelbagai jenama, tetap ada yang percaya dengan bakat saya. Sebab itu kita kena jaga kerja kita.

Scroll to Top