Panduan makan pada waktu malam secara sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Lifestyle: Demi mendapatkan berat dan bentuk tubuh ideal, ramai individu mengelakkan makan pada waktu malam kerana beranggapan tindakan demikian boleh menambahkan berat badan.

Namun demikian, tanggapan itu tidak tepat kerana makan malam juga penting dalam membekalkan tenaga dan nutrisi yang diperlukan tubuh seperti mana pengambilan sarapan dan makan tengah hari.

Isu peningkatan berat badan bukan sekadar berpunca daripada tabiat makan malam, tetapi puncanya juga adalah amalan diet yang tidak seimbang seperti makan secara berlebihan, berminyak, makanan berlemak dan tinggi kalori disusuli gaya hidup yang tidak sihat.

Makan malam adalah pelengkap nutrien yang mungkin tidak mencukupi pada siang hari seperti pengambilan sayuran, buah-buahan dan tenusu.

Di samping itu, makan malam juga mungkin penting untuk meningkatkan kemesraan bersama ahli keluarga yang berkumpul pada waktu malam dan merehatkan fikiran selepas seharian penat bekerja.

Sekali lagi perlu diingat bahawa salah satu daripada faktor penyumbang berat badan berlebihan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan. Justeru, makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan menyumbang kepada obesiti.

Terdapat 4 faktor makan malam dikaitkan dengan masalah kegemukan iaitu:

1. Makan malam beramai-ramai terutamanya keluarga akan mempengaruhi saiz hidangan dan seseorang lebih banyak makan berbanding sendirian.

2. Sikap melangkau waktu makan pada siang hari mengakibatkan kelaparan tidak terkawal lantas membuatkan seseorang makan berlebihan semasa malam.

3. Tindakan menjadikan makan malam sebagai satu cara melepaskan tekanan turut mendorong masalah obesiti.

4. Kecenderungan mengambil makanan tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek ketika menonton televisyen pada waktu malam turut dikaitkan dengan masalah kegemukan.

Dikongsikan pula 8 panduan makan malam secara sihat:

1. Utamakan makanan seimbang mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia.

2. Hadkan pengambilan makanan berminyak, bergoreng dan berlemak.

3. Ketahui saiz hidangan makan malam seharusnya membekalkan 400 hingga 500 kalori.

4. Tidak digalakkan ambil makanan pada lewat malam.

5. Waktu paling sesuai adalah pada jam 6.30 petang hingga 8.30 malam. Jika berasa lapar dan tidur lewat, pilihlah roti, buahan, biskut atau susu suam sebagai snek.

6. Hindari makan malam sambil menonton televisyen.

7. Elakkan kopi atau teh selepas makan malam kerana ia boleh mengakibatkan gangguan tidur.

8. Jika menghadiri jamuan makan malam, makanlah secara sederhana dengan saiz hidangan yang kecil, pilih makanan sihat dan utamakan buah-buahan serta air kosong.

Selamat menjaga makan malam buat anda semua agar lebih sihat.

Akmal Hakim
Lifestyle Desk