Rakyat semakin lemas, perlu pelampung sendiri untuk selamat – Najib

Shah Alam – Rakyat semakin lemas dengan situasi ekonomi kini dan perlu segera diselamatkan menggunakan pelampung milik mereka sendiri, bukan milik orang lain.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, itu adalah situasi rakyat yang kritikal dan perlukan bantuan pelampung sendiri, bukan milik kerajaan atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, tuntutan pengeluaran akaun 1 KWSP yang diperjuangkannya sejak awal sebelum pembentangan Belanjawan 2021 itu diyakini tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi KWSP kerana kini ia isu kelangsungan hidup rakyat dan bukan isu pelaburan.
Beliau berkata, KWSP tidak wajar melihat tuntutan rakyat mahu mengeluarkan akaun 1 sebagai beban yang akan menjejaskan pelaburannya.
“Saya tak setuju pandangan CEO KWSP (Tunku Alizakri Alias) yang kata kalau kita benarkan pengeluaran RM10,000 dari akaun 1 secara pukal, peluang pelaburan KWSP akan terjejas.
Ini bukan populis tetapi perlu dilakukan kerana ia diperlukan rakyat untuk bernafas.
“Seperti yang saya sarankan ada kaedahnya untuk KWSP benarkan pengeluaran itu dan bukan hanya pertahankan kedudukan mereka (KWSP). Kalau saya menteri kewangan, saya bagi kata dua, keluarkan arahan, kalau tak buat dia (Tunku Alizakri) kena letak jawatan,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk ‘Apa Kisah Belanjawan 2021’, malam tadi.

Beliau berkata, ia bukan bermaksud KWSP perlu jual aset mereka tetapi contoh kaedahnya yang boleh dilakukan ialah Bank Negara membantu membeli bon milik KWSP, yang mana ia boleh disimpan atau dijual semula kepada pihak ketiga.

Mohd Najib yang juga bekas Menteri Kewangan itu berkata, pengeluaran daripada akaun 1 akan membolehkan suntikan kewangan dalam sistem ekonomi negara sekaligus permintaan domestik akan bertambah dan ekonomi berputar lebih rancak.
Namun, beliau masih belum berpuas hati dan memberi masa kepada kerajaan dan menteri kewangan untuk menilai semula tuntutan tersebut.
KWSP sebelum ini mengumumkan kemudahan akses simpanan persaraan akaun 1, i-Sinar yang memberi manfaat kepada 2 juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

Syarat ketat menyebabkan tindakan KWSP itu dikritik dan ditolak rakyat dan beberapa pemimpin antaranya Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

 

ZA137 Malay News

National Desk