BEREGU campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mencipta sejarah apabila mara ke final Jelajah Dunia Super 750 buat kali pertama selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian pada separuh akhir Masters China 2026 di Arena Shenzhen pada Sabtu.
Pasangan ranking ke-85 dunia itu tampil bertenaga dan tenang untuk menundukkan gandingan ranking ke-28 dunia berkenaan 21-12, 21-10, sekali gus melakar pencapaian terbesar sejak mereka mula digandingkan pada Mac lalu.
Bagi Pei Jing, kejayaan berkenaan cukup membanggakan, lebih-lebih lagi ia adalah penampilan sulungnya di pentas final kejohanan berstatus Super 750.
“Saya berasa sangat gembira. Tiada kata-kata lain yang dapat menggambarkan perasaan ini selain rasa gembira dan bangga,” katanya.
Pang Ron pula mengakui kejayaan kali ini cukup istimewa buat dirinya kerana ia merupakan penampilan kedua di final Masters China, namun dicapai bersama gandingan berbeza.
“Bagi saya, perasaannya agak berbeza kerana ia dicapai bersama dua gandingan yang berlainan. Ini juga merupakan salah satu pencapaian peribadi saya dan saya berharap kami dapat memberikan aksi terbaik di pentas final nanti,” katanya.
Kemenangan itu turut menyaksikan Pang Ron-Pei Jing memperbaiki pencapaian terbaik mereka sebelum ini selepas mara ke separuh akhir Terbuka Macau berstatus Super 300 pada Jun lalu.
Pei Jing juga sedar pertemuan menentang Zhu-Li Qian bukan mudah, justeru fokus diberikan kepada setiap mata tanpa terlalu memikirkan keputusan keseluruhan.
“Kami sedar perlawanan ini tidak akan mudah. Jadi, kami hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap mata demi mata,” katanya.
Mengulas strategi menghadapi pasangan tuan rumah yang lebih muda dan kurang berpengalaman, Pang Ron berkata, mereka tidak mahu hanya menunggu kesilapan lawan, sebaliknya mengambil inisiatif untuk memberikan tekanan sejak awal.
“Sudah tentu kami tidak sekadar menunggu mereka melakukan kesilapan, sebaliknya kami yang memberi tekanan kepada mereka. Kami berikan lebih banyak tekanan supaya mereka merasainya dan akhirnya mereka sendiri yang akan melakukan kesilapan,” katanya.
Pang Ron turut mengakui tempoh tiga bulan tanpa menyertai kejohanan banyak membantu persiapan mereka apabila mempunyai masa lebih panjang untuk menjalani latihan bersama.
“Sudah tentu ia amat membantu kerana kami mempunyai tempoh latihan yang lebih panjang. Selain itu, barisan jurulatih dan pasukan juga banyak membantu kami,” katanya.
Lebih menarik, sambutan kemenangan Pang Ron selepas tamat perlawanan turut mencuri perhatian apabila dia menunjukkan empat jari, meneruskan simbolik yang dilakukan sejak pusingan pertama kejohanan.
Menurutnya, satu jari melambangkan kemenangan pertama, dua jari untuk kemenangan kedua, tiga jari selepas kemenangan suku akhir dan empat jari selepas kejayaan ke atas Zhu-Li Qian.
“Hari pertama, gayanya begini untuk kemenangan pertama. Hari kedua begini untuk kemenangan kedua. Semalam begini untuk kemenangan ketiga. Hari ini adalah kemenangan keempat. Harap-harap esok begini (menunjukkan lima jari),” katanya.
Pang Ron-Pei Jing kini hanya selangkah untuk memburu gelaran pertama sejak digandingkan, namun mereka perlu menanti keputusan satu lagi aksi separuh akhir bagi mengetahui lawan di final.
Mereka bakal berdepan sama ada pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau gandingan negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menghuni ranking ke-11 dunia.
