Pang Ron-Su Yin raih tonik terbaik

Pang Ron-Su Yin raih tonik terbaik

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meraih motivasi tinggi untuk terus bersama dalam kejohanan akan datang selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026.

Sebelum ini, ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto memberi masa kepada Pang Ron-Su Yin untuk membuktikan sesuatu dalam beberapa kejohanan terawal dan sekiranya keputusan kurang memuaskan, kemungkinan besar gandingan mereka akan dipisahkan.

Bagi Su Yin, dia sangat berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan hari ini meskipun bertemu dengan lawan yang agak kuat dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

“Saya rasa sangat puas hati dan sangat gembira sebab saya rasa ini kemenangan pertama kami di Malaysia (Terbuka Malaysia). Saya berharap momentum ini dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Pang Ron pula menyatakan dirinya sangat teruja dalam perlawanan itu kerana beraksi di halaman sendiri selain ingin memburu keputusan positif di hadapan penyokong Malaysia.

“Salah satu sebab saya teruja kerana bermain di tempat sendiri dan nak buktikan bahawa kami masih di sini. Saya sangat gembira kerana menang hari ini,” katanya.

Terdahulu, Pang Ron-Su Yin melakukan kejutan untuk melangkah ke pusingan kedua sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu selepas tewas di set pertama.

Beraksi di halaman sendiri, Pang Ron-Su Yin mempamerkan semangat melawan meskipun tewas di set pertama sebelum bangkit untuk menewaskan pasangan Denmark, Mathias-Alexandra 20-22, 21-18, 21-17 dalam masa 72 minit.

Kemenangan itu membolehkan gandingan ke-21 dunia merapatkan rekod kemenangan daripada tiga pertemuaan sebelum ini malah berjaya memadam badi dua kekalahan berturut-turut kepada gandingan Denmark pada musim lalu, masing-masing di Terbuka Macau dan Masters Malaysia 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top